Tiga lelaki ditahan pasang bahan letupan

Tiga lelaki ditahan pasang bahan letupan

WARSAW, 26 Mei – Pihak berkuasa di Poland berkata, tiga lelaki ditangkap ketika memasang bahan letupan buatan sendiri di bawah dua kereta polis di ibu kota ini.

Ia adalah kes kedua bahan letupan mengancam keselamatan awam di Poland sejak Khamis lalu. Poland akan menganjurkan sidang kemuncak NATO dan lawatan oleh Pope Francis Julai ini.

Jurucakap polis, Mariusz Mrozek berkata hari ini, lelaki berusia antara 17 dan 35 tahun itu dikaitkan dengan kumpulan anarki dan tidak menjelaskan mengapa mereka cuba memusnahkan kereta terbabit di sebuah lot parkir polis malam Isnin lalu. Jika disabitkan kerana mengancam keselamatan awam, mereka berdepan hukuman penjara sehingga lapan tahun.

Secara berasingan, seorang pelajar 22 tahun mengaku meninggalkan bahan letupan buatan Khamis lalu dalam sebuah bas bandar di Wroclaw di barat daya. Seorang penumpang cedera apabila ia meletup. – AP