Tiga letupan bom gegar Narathiwat, dua terbunuh

Tiga letupan bom gegar Narathiwat, dua terbunuh

NARATHIWAT, 1 Ogos  – Tiga kejadian letupan bom dilaporkan berlaku di wilayah bergolak Narathiwat di selatan Thai malam dan pagi tadi mengakibatkan dua orang terbunuh dan seorang cedera.

Menurut Ketua Polis Sungai Golok Kol Korn-art Suwannakam, kejadian pertama berlaku di Kampung Bongo, Ranget pada 6.30 petang (waktu tempatan) dan kejadian kedua pada 10 malam di Chok Irong.

“Kejadian pertama mengorbankan dua mangsa, manakala dalam kejadian kedua terdapat mangsa yang cedera,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam kejadian di Jalan Jarusatiang, Kampung Tok Lube di Sungai Golok 7.45 pagi ini, sebutir bom seberat antara lima hingga tujuh kilogram meletup ketika enam sukarelawan keselamatan pulang daripada tugas mengawal guru.

Tiada kecederaan atau kematian dilaporkan dalam kejadian itu, katanya. Sementara itu Ketua Polis Daerah Yingo Kol Dulyaman Yaena berkata polis menerima laporan tentang tiga tindakan menconteng jalan raya dengan perkataan menolak pungutan suara pada 7 Ogos ini di Jalan Petchakasem di sini.

Sepanduk serta contengan di jalan raya menolak pungutan suara itu turut dilaporkan berlaku di daerah Mayo, Muang dan Mayo di Pattani.

Dalam kejadian berasingan pula, Polis Marin Narathiwat menahan empat buah kapal nelayan Vietnam bersama 20 anak kapal warganegara itu pada 10 pagi tadi, menurut ketuanya Kol Natthapon Takaew.

Tangkapan itu dilakukan selepas menerima laporan daripada nelayan tempatan tentang kehadiran kapal-kapal asing itu.  – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA