Tiga maut dalam kemalangan jalan raya

Tiga maut dalam kemalangan jalan raya

LAHAD DATU, 24 Julai – Tiga orang termasuk seorang kanak-kanak perempuan maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan pacuan empat roda di KM26 Jalan Lahad Datu-Sandakan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Hamzah Ahmad berkata dalam kejadian 1.40 petang itu, Norziah Abd Said, 22, Lasupu Padai, 66, dan Nadia Farhana, 4, meninggal dunia akibat kecederaan parah.

Beliau berkata dua daripada mangsa maut lokasi kejadian dan seorang seorang lagi disahkan meninggal dunia di Hospital Lahad Datu.

“Siasatan awal mendapati kereta Mitsubishi Triton yang dinaiki ketiga-tiga mangsa, adalah dalam perjalanan dari Lahad Datu menuju ke Sandakan.

“Apabila tiba di tempat kejadian, kenderaan itu hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar sebelah tepi kiri kenderaan Toyota Vigo sebelum terbalik dan melanggar pula kenderaan Isuzu Dmax,” katanya dalam kenyataan di sini hari Sabtu.

Hamzah berkata pemandu dan penumpang kenderaan Toyota Vigo dan Isuzu D-max itu tidak cedera.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 1.46 petang sebelum menghantar lapan anggota dan dua jentera ke lokasi kejadian. – Bernama