Tiga maut, dua pesawat kecil bertembung

Tiga maut, dua pesawat kecil bertembung

CARROLLTON, 8 Sept – Tiga terbunuh kelmarin selepas dua pesawat kecil bertembung di udara di lapangan terbang terpencil di barat Georgia, dengan seorang saksi memberitahu pihak berkuasa kedua-dua juruterbang mungkin cuba mendarat pada masa sama.

Pesawat satu enjin itu terhempas sejurus sebelum 11 pagi waktu tempatan berhampiran penghujung landasan tunggal di Lapangan Terbang Wilayah Georgia Barat, kata Ketua Bomba Carroll, Scott Blue. Lapangan terbang itu terletak di Carrollton, kira-kira 45 batu ke barat Atlanta.

Mangsa yang meninggal dunia ialah dua lelaki dan seorang wanita, kata Timbalan Ketua Koroner Carroll, Ed Baskin. Wanita berkenaan dan salah seorang mangsa lelaki berada dalam satu pesawat dan lelaki kedua bersendirian dalam pesawat lain, katanya.

Serpihan nahas kapal terbang yang berada di landasan Lapangan Terbang West Georgia Regional di Carrollton, Georgia, Rabu lalu. - AP
Serpihan nahas kapal terbang yang berada di landasan Lapangan Terbang West Georgia Regional di Carrollton, Georgia, Rabu lalu. – AP

Baskin berkata, nama mangsa dirahsiakan sehingga anggota keluarga mereka dimaklumkan.

Punca nahas maut itu masih dalam siasatan. Namun Blue berkata saksi melaporkan kedua-dua pesawat kelihatan cuba mendarat serentak.

“Seorang juruterbang lain yang masih di udara berkata kedua-duanya cuba mendarat dan satu daripada pesawat malang itu berada di atas satu lagi,” Kata Blue kepada AP melalui telefon.”Buat masa ini, kami masih belum dapat mengesahkan perkara itu.” – AP

ARTIKEL YANG SAMA