Tiga menara CORS sedia kesan gempa bumi

Tiga menara CORS sedia kesan gempa bumi

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Dis – Negara Brunei Darussalam mempunyai tiga menara Stesen Rujukan Operasi Berterusan (CORS) yang bersedia untuk mengesan sebarang pergerakan bumi jika berlaku bencana gempa bumi di negara ini atau di negara jiran.

Ketiga-tiga menara stesen CORS itu ialah Stesen Ukur CORS yang ditempatkan di atas bangunan Jabatan Ukur di ibu negara, Stesen Muara CORS yang ditempatkan di atas pangsapuri kediaman pegawai tentera di Pangkalan Tentera Laut Diraja Brunei dan sebuah lagi ialah Stesen Labu CORS bagi Daerah Temburong yang terletak di belakang Sekolah Rendah Labu, Daerah Temburong.

Sistem pemantauan pergerakan bumi itu diintegrasikan melalui penggunaan perisian Bernese GNSS buatan Switzerland, iaitu perisian yang paling tepat dalam pengukuran pergerakan bumi pada hari ini dan digunakan oleh hampir 600 institusi di serata dunia.

Maklumat itu dikongsi oleh Juruukur, Bahagian Geodetik, Jabatan Ukur, Dayang Norliza binti Haji Muhammad Daud ketika membentangkan taklimat bertajuk ‘Kesan Gempa Bumi Sabah ke atas CORS Brunei’ pada hari terakhir Persidangan Multi-GNSS (MGA) ke-7, yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

Ketika ditemu bual, Dayang Norliza menjelaskan, semasa Sabah dilanda gempa bumi pada 5 Jun 2015 lalu, pihaknya di negara ini membuat kajian rintis terhadap kesan gempa itu.

Dayang Norliza menyampaikan taklimatnya mengenai kesan gempa bumi Sabah ke atas Brunei
Dayang Norliza menyampaikan taklimatnya mengenai kesan gempa bumi Sabah ke atas Brunei

Hasil kajian yang menggunakan perisian Bernese, beliau mendapati koordinat di Stesen Ukur CORS tidak memberi sebarang perbezaan bacaan, namun Stesen Muara CORS mencatat perubahan koordinat sebanyak 0.01 saat latitud dan 0.04 saat bagi garisan longitud.

Bagaimanapun pihaknya tidak mengenal pasti sama ada perubahan koordinat itu merupakan kesan langsung daripada gempa bumi di Sabah, Malaysia pada hari yang sama ataupun kesan pergerakan pada bangunan yang menempatkan stesen CORS itu.

Ini kerana untuk mengenal pasti dengan tepat punca perubahan catatan koordinat itu memerlukan pengumpulan data yang lengkap untuk tempoh tiga hingga enam bulan.

Ditanya mengenai Perisian Bernese yang digunakan di Brunei pada masa ini, Dayang Norliza berkata, ia merupakan perisian yang spesifik dengan ketepatan tertinggi yang dicipta oleh Universiti Switzerland dan digunakan oleh Stesen IGS di serata dunia untuk menganalisis data mengenai pergerakan bumi.

Lebih 100 orang peserta dari 14 negara berhimpun di ibu negara, sejak

7 Disember 2015 bagi menghadiri itu yang membincangkan manfaat sistem navigasi satelit sejagat (GNSS),

syarikat-syarikat yang mengeluarkannya, teknologi GNSS terkini serta kegunaannya kepada bidang pertanian cari gali minyak dan melancarkan sistem lalu lintas negara yang menggunakannya.

ARTIKEL YANG SAMA