Tiga pelajar terima biasiswa BSP

Tiga pelajar terima biasiswa BSP

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 7 Sept – Pada tahun ini, tiga orang pelajar Sekolah Menengah Sayyidina Ali telah dipilih menerima biasiswa Kementerian Pertahanan dan Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) untuk melanjutkan pembelajaran mereka ke universiti dalam dan luar negara.

Pelajar-pelajar tersebut ialah Adrian James Yong Jet Xiang yang akan mengambil jurusan Sarjana Kejuruteraan dalam bidang Meteorologi dan Oseanografi di Universiti East Anglia, United Kingdom, dan Chai Chang Wang akan mengambil Sarjana Kejuruteraan dalam Kejuruteraan Kimia di Universiti Teknologi Brunei, kedua-duanya telah menerima biasiswa daripada BSP.

Manakala itu, Awang Sarohakim bin Haji Mohd Salim @ Sarohakim Goeting, menerima biasiswa Komander Berprestij Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan akan melanjutkan pengajian Sarjana Kejuruteraan dalam Kejuruteraan Bioperubatan di Universiti Sheffield United Kingdom selama tiga tahun.

Sehubungan itu, majlis doa selamat bagi penerima-penerima biasiswa dari Sekolah Menengah Sayyidina Ali itu telah diadakan petang tadi dan hadir pada majlis tersebut, seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil dan cenderamata kepada pelajar-pelajar tersebut ialah pengetua sekolah, Pengiran Hajah Zeiniun binti Pengiran Mudin.

Turut hadir ialah Timbalan Pengetua, Awang Mohd Shamry bin Haji Mohd Sani, dan guru-guru kanan lainnya, Haji Saiful Bahrin bin Haji Sabli dan Steven Shim, serta ibu bapa pelajar yang menerima biasiswa.

Pengiran Hajah Zeiniun (dua kanan) bersama pelajar-pelajar yang berjaya menerima biasiswa beserta ibu bapa dan guru-guru Jabatan Pembelajaran Tinggi dan Kerjaya sekolah.
Pengiran Hajah Zeiniun (dua kanan) bersama pelajar-pelajar yang berjaya menerima biasiswa beserta ibu bapa dan guru-guru Jabatan Pembelajaran Tinggi dan Kerjaya sekolah.

Majlis tersebut antara lain bertujuan untuk mengetengahkan kejayaan pelajar-pelajar tersebut untuk menjadi contoh kepada pelajar-pelajar lainnya supaya terus bekerja keras dan tekun belajar dalam Peringkat ‘A’.

Seterusnya, sebagai tanda sokongan yang berterusan daripada pihak sekolah dan ibu bapa kepada pelajar dalam membantu meningkatkan kecemerlangan pelajar untuk mencapai keputusan terbaik di Peringkat ‘A’, di samping memotivasikan pelajar lain supaya mengikut jejak pelajar-pelajar yang sudah berjaya dan mulai melangkahkan kaki maju ke peringkat universiti dalam dan luar negara.

Awang Sarohakim, semasa ditemui Media Permata menyatakan, beliau sangat berbangga kerana berjaya terpilih dalam jurusan yang istimewa di Negara Brunei Darussalam itu.

Dengan ketekunannya, beliau telah berjaya memperolehi 3A dalam subjek Biologi, Fizik dan Matematik, selain mendapat kepujian dalam Bahasa Melayu dan Inggeris semasa Peperiksaan Peringkat ‘O’.

“Biarpun saya sebelum ini merupakan pelajar yang tidak bekerja keras, tetapi pada tahun kedua Peringkat ‘A’, saya telah meningkatkan usaha dan berjaya mencapai kejayaan, dan saya akan terus bekerja keras untuk menyambung pembelajaran sehingga ke peringkat sarjana selepas tiga tahun nanti,” katanya.

Sementara itu, Adrian James Yong Jet Xiang pula telah berjaya mendapatkan 3A dalam subjek Matematik, Kimia dan Fizik.

“Dulu saya hanya seorang pelajar yang sederhana dalam pencapaian akademik, tetapi setelah saya bersosial dengan rakan-rakan yang lebih pandai, saya menjadi lebih bersemangat untuk maju selain turut mendapat dorongan daripada rakan-rakan untuk memajukan diri dalam akademik sehingga berjaya terpilih mendapatkan biasiswa belajar ke luar negara,” katanya.

Beliau juga berjanji akan pulang dengan kejayaan seperti yang diharapkan oleh pihak penaja biasiswanya selain yang utama untuk menjadikannya sebagai anak yang membanggakan kedua orang tua serta ahli keluarganya, dan akan kembali ke negara ini serta menyumbang kepada industri Minyak dan Gas pada amnya dan negara khususnya.

ARTIKEL YANG SAMA