Tiga pelajar terima biasiswa Sultan’s Scholar

Tiga pelajar terima biasiswa Sultan’s Scholar

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Sept – Tiga orang pelajar cemerlang telah dianugerahkan biasiswa Sultan’s Scholar Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) bagi Sesi Pengajian 2015/2016.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan biasiswa tersebut kepada Dayang Rasyiqah Azimah binti Muhammad Nuraiziz, Dayang Muniratussafiah binti Haji Johar dan Dayang Liyana Bazilah binti Haji Jamain, pada majlis penganugerahan di Istana Nurul Iman, kelmarin.

Berangkat sama, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir YSHHB.

Dayang Rasyiqah Azimah merupakan lepasan penuntut Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan dan beliau akan meneruskan pengajian ke peringkat Sarjana Muda dalam jurusan Sains Semula Jadi di University College London, United Kingdom.

Dayang Muniratussafiah pula merupakan lepasan penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) dan akan meneruskan pengajian dalam jurusan Tahfiz Al-Qur’an Wal Qiraat di Mahad Qiraat, Shoubra, Al-Azhar, Mesir.

Baginda Sultan berkenan mengurniakan Sultan’s Scholar kepada Dayang Muniratussafiah. - Infofoto
Baginda Sultan berkenan mengurniakan Sultan’s Scholar kepada Dayang Muniratussafiah. – Infofoto
Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan YTM Pengiran Muda ‘Abdul Malik semasa berkenan bergambar bersama para penerima biasiswa Sultan’s Scholar. - Infofoto
Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan YTM Pengiran Muda ‘Abdul Malik semasa berkenan bergambar bersama para penerima biasiswa Sultan’s Scholar. – Infofoto
Baginda Sultan berkenan beramah mesra bersama ibu bapa Dayang Liyana Bazilah.
Baginda Sultan berkenan beramah mesra bersama ibu bapa Dayang Liyana Bazilah.

Manakala itu, Dayang Liyana Bazilah, merupakan penerima anugerah yang sama pada tahun 2012 dan lulus dengan memperoleh Sarjana Muda Kelas Pertama dalam jurusan Matematik dan Ekonomi di University College London, United Kingdom.

Tahun ini, beliau menerima biasiswa untuk meneruskan pengajian ke peringkat Sarjana dalam jurusan ‘Comparative Economics and Policy’ di universiti yang sama.

‘Sultan’s Scholar’ merupakan biasiswa yang amat berprestij dan dianugerahkan kepada penuntut-penuntut yang telah dikenal pasti oleh YSHHB, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama sebagai penuntut cemerlang dalam bidang akademik dan kegiatan luar sekolah.

Ia adalah antara program pembangunan kapasiti manusia yang diperkenalkan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui YSHHB, bagi merealisasikan Wawasan 2035 ke arah rakyat berpendidikan dan berkemahiran tinggi.

Dengan penganugerahan itu, mereka berpeluang melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang ke peringkat ijazah atau yang sebanding dengannya di institusi-institusi pengajian tinggi luar negara yang berprestij dan dibenarkan oleh YSHHB serta diiktiraf oleh kerajaan.

Sejak diperkenankan pada tahun 2006, seramai 38 pelajar telah dianugerahkan biasiswa tersebut. Pada tahun 2013, YSHHB telah memperluaskan biasiswa berkenaan kepada peringkat Doktor Falsafah di bawah Skim Meninggi Tahap Pengajian ‘Sultan’s Scholar’.

Setakat ini, tiga penerima biasiswa tersebut melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah setelah menamatkan pengajian di peringkat Sarjana.

Selepas mengurniakan biasiswa-biasiswa, Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berkenan menerima junjung ziarah dan beramah mesra dengan para penerima anugerah serta ibu bapa para penerima.

ARTIKEL YANG SAMA