Tiga pemain digugur sertai futsal AFC

Tiga pemain digugur sertai futsal AFC

KUALA LUMPUR, 4 Feb – Tiga daripada 17 pemain futsal kebangsaan yang menyertai lima perlawanan persahabatan di Bangkok dan Ho Chi Minh baru-baru ini digugurkan daripada senarai akhir pemain ke Kejohanan Futsal Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bermula 10 hingga 21 Februari ini di Tashkent, Tajikistan.

Mereka ialah pemain Pahang, Mohd Afiq Abdul Rahman selain dua pemain Sabah iaitu Mohd Iftitah Ahmad dan Mohd Ridzwan Bakri.

Ketua jurulatih skuad futsal kebangsaan, Marcelo Serpa menerusi laman web Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) (www.fam.org.my), memaklumkan beliau mengekalkan 14 pemain yang disifatkannya adalah gandingan terbaik untuk menggalas cabaran negara pada kejohanan tersebut.

“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan pilihan saya di mana pemain-pemain sudah menunjukkan kesungguhan sepanjang empat minggu latihan pusat dan lima perlawanan persahabatan ini untuk menunjukkan peningkatan prestasi sepasukan,” katanya.

Serpa pada masa sama berharap supaya latihan fasa terakhir selain dua aksi persahabatan di Uzbekistan iaitu berdepan skuad Bawah 23 (B-23) Uzbekistan dan Iraq, masing-masing pada 6 dan 7 Februari ini mencukupi untuk mempersiapkan pasukan kebangsaan.

Marcelo Serpa memaklumkan beliau mengekalkan 14 pemain yang disifatkannya adalah gandingan terbaik untuk menggalas cabaran negara pada kejohanan tersebut. – Bernama
Marcelo Serpa memaklumkan beliau mengekalkan 14 pemain yang disifatkannya adalah gandingan terbaik untuk menggalas cabaran negara pada kejohanan tersebut. – Bernama

Sementara itu, jurulatih kelahiran Brazil itu berharap skuad kebangsaan dapat mengejutkan naib juara kejohanan Futsal ASEAN 2015, Australia dalam aksi pembukaan kumpulan D, pada 11 Februari ini bagi mencerahkan peluang negara mara ke peringkat seterusnya.

Selepas menentang Australia, Malaysia berdepan tugas sukar menentang juara bertahan kejohanan, Jepun pada 13 Februari ini sebelum menamatkan aksi pusingan awal menentang Qatar, selang dua hari kemudian.

Berdasarkan format kejohanan, dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan layak ke peringkat suku akhir kejohanan.

Lima pasukan terbaik daripada kejohanan ini layak ke Kejohanan Futsal Piala Dunia 2016 di Colombia dari 10 September hingga 1 Oktober ini. – Bernama