Tiga pemain liar terima padah

Tiga pemain liar terima padah

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) – Tiga pemain menerima padah apabila digantung perlawanan selain turut didenda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan tindakan liar pada aksi Liga Malaysia (Liga-M) 2016.

Jawatankuasa Tatatertib FAM yang bersidang hari ini memutuskan untuk mengenakan penggantungan empat perlawanan selain denda RM2,000 kepada pemain pertahanan Pahang FC, Mohd Saiful Nizam Miswan.

FAM dalam kenyataannya berkata pemain itu didapati bersalah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengadil perlawanan semasa aksi Liga Super antara Pahang FC dan Terengganu FC II di Stadium Darul Makmur, Kuantan, 13 Feb lepas.

Penggantungan empat perlawanan meliputi aksi pusingan kedua Piala FA bertemu Terengganu FC II, esok selain dua aksi Liga Super menentang Selangor (27 Feb) serta Terengganu FA (1 Mac).

Ketiga-tiga perlawanan itu akan berlangsung di Stadium Darul Makmur. Beliau sudah menjalani penggantungan automatik sewaktu Pahang FC tewas kepada Pulau Pinang 1-4, Selasa lepas.

Pemain Negeri Sembilan, Mohd Hariri Mohd Safii dan pemain Kuantan FA, Hazwan Fakrullah Mohd Zuridi pula didenda sebanyak RM1,000 seorang dan masing-masing digantung empat dan dua perlawanan.

Mereka didapati bersalah selepas menyerang antara satu sama lain pada aksi Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 12 Feb lepas.