Tiga pengadil Paraguay digantung

Tiga pengadil Paraguay digantung

ASUNCION, 24 Jun (AFP) – Tiga pengadil Paraguay digantung semalam selepas didakwa terbabit dalam skandal rasuah berikutan kemunculan perbincangan yang dirakamkan melibatkan ketua bola sepak Argentina, Julio Grondona.

Carlos Amarilla, Rodney Acquino dan Carlos Caceres digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Paraguay (APF) selepas penyebaran rakaman Grondona di Argentina Ahad lalu.

Grondona yang juga bekas naib presiden FIFA dan meninggal dunia pada usia 82 tahun itu dikenali sebagai salah seorang tokoh berkuasa dalam bola sepak Amerika Selatan sehingga kematiannya tahun lepas. Bagaimanapun dia berulang kali dikaitkan kepada dakwaan rasuah ketika 35 tahun memimpin bola sepak Argentina.

Perbincangan yang diterbitkan oleh Canal America TV di Argentina Ahad lalu dilihat mengesahkan peranan Grondona dalam rasuah itu serta penglibatannya dalam menentukan perlawanan, memanipulasi jadual dan pelantikan pengadilan.

Dalam salah satu rakaman, Grondona dilihat membincangkan Copa Libertadores 2013 di antara gergasi Argentina Boca Juniors dan pasukan dari Brazil Corinthians yang diselia oleh pengadil Amarilla.

Julio Grondona semasa menghadiri Kongres ke-59 FIFA di Nassau pada 2009. – Reuters
Julio Grondona semasa menghadiri Kongres ke-59 FIFA di Nassau pada 2009. – Reuters

“Ia ternyata baik pada akhirnya. Tiada siapa yang mahu penjahat gila ini dan lelaki yang memberikan Boca sokongan terbaik tahun lepas ialah (pengadil Carlos) Amarilla,” Grondona kedengaran berkata sebelum tertawa.

Media Paraguay mengaitkan ulasan itu kepada perlawanan 2013, di mana Boca menewaskan Corinthians 1-0 secara kontroversi dengan Amarilla membatalkan dua jaringan kelab Brazil.

Julio Grondona telah bercakap kepada pegawai Argentina Abel Gnecco dalam jawatankuasa pengadilan badan induk bola sepak Amerika Selatan CONMEBOL.

ARTIKEL YANG SAMA