Tiga penguasa naik pangkat

Tiga penguasa naik pangkat

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Sept – Tiga orang Penguasa Bomba telah dinaikkan pangkat kepada penguasa kanan bomba dan menerima tanda pangkat masing-masing dalam majlis yang diadakan di Mes Pegawai Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat, Lapangan Terbang Lama Berakas, di sini, hari ini.

Mereka yang dinaikkan pangkat berkenaan ialah Awang Taib bin Haji Abdul Kahar, Awang Nohi Irwan Surkarki bin Haji Pawi dan Awang Noor Aflan bin Awang Kachi.

Hadir bagi menyempurnakan penyampaian tanda pangkat berkenaan ialah Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Lt Kol (B) Awang Yahya bin Haji Abdul Rahman.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Lim Hock Guan, penolong pengarah, pegawai kanan, pegawai dan anggota serta kakitangan jabatan berkenaan.

Dalam temu bual bersama media sejurus selepas upacara penyampaian tanda pangkat, Penguasa Kanan Bomba Awang Taib berkongsi pengalamannya setelah 30 tahun berkhidmat dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Lt Kol (B) Awang Yahya dan Lim Hock Guan serta warga Jabatan Bomba dan Penyelamat bergambar ramai bersama tiga penguasa bomba yang dinaikkan pangkat.
Lt Kol (B) Awang Yahya dan Lim Hock Guan serta warga Jabatan Bomba dan Penyelamat bergambar ramai bersama tiga penguasa bomba yang dinaikkan pangkat.

Menurut beliau, sepanjang tempoh perkhidmatan itu, pelbagai kursus dihadiri yang mana salah satunya Kursus Asas Pegawai pada tahun 1989 hingga 1990 di Pusat Latihan Perkhidmatan Bomba Hong Kong.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa pada tahun ini, mereka cuba memperkenalkan Fire Safety Order kepada orang ramai melalui pemberigaan, terutama sekali kepada pengurus-pengurus kedai, QP Architect dan para konsultan.

“Ini adalah untuk memperkenalkan dan memberitahu yang Akta Perintah Kebakaran Bomba dikuatkuasakan secara berperingkat yang mana fasa pertama telah pun selesai di keempat-empat daerah,” ujarnya.

Beliau seterusnya menambah, pemberigaan ini akan dilaratkan untuk bahagian perkapalan dan sebagainya, yang dijangka dilaksanakan pada tahun depan, kemudian pemberigaan ini akan dilaratkan ke bahagian piping gas khusus untuk kawalan cecair mudah bakar, minyak dan gas yang akan dilaksanakan pada tahun 2018.

Pada majlis itu, Doa Selamat telah dibacakan oleh Guru Ugama di Jabatan Bomba dan Penyelamat, Haji Adanan bin Haji Ahmad.

ARTIKEL YANG SAMA