Tiga penyerang keluarga Britain diberkas

Tiga penyerang keluarga Britain diberkas

BANGKOK, 28 April – Pasangan warga emas dari Britain dan anak lelaki mereka telah diserang dengan teruk semasa percutian keluarga di Thailand dalam tamparan hebat kepada imej negara sebagai syurga pelancongan.

Hari ini polis berkata mereka telah memberkas tiga orang yang dikatakan penyerang dan sedang memburu seorang lagi.

Video yang memaparkan serangan itu, yang dirakam oleh kamera keselamatan dan dimuat turun ke media sosial minggu ini, telah menimbulkan kejutan dan kemarahan tentang kekejaman serangan itu dan usia mangsa yang berusia itu, iaitu wanita berusia 65 tahun dan lelaki, 68 tahun dari Scotland.

Serangan itu menandakan tindakan ganas terbaru ke atas para pelancong di negara Asia Tenggara.

Dalam klip video itu, keluarga berkenaan dilihat berjalan di kawasan jalan yang sesak dengan ramai orang di bandar pantai Hua Hin pada petang 13 April di tengah perayaan Tahun Baru Thai.

Pertengkaran berlaku apabila sekumpulan lelaki di jalan itu telah menumbuk muka ketiga-tiga pelancong itu, menendang badan mereka dan menghentak muka mereka dengan kaki dalam serangan yang memakan masa kira-kira dua minit.

Kolonel Polis Chaiyakorn Sriladecho berkata ia bermula selepas “anak lelaki itu tidak sengaja terlanggar salah seorang lelaki Thailand itu.”

Serangan hanya berhenti apabila ketiga-tiga mangsa dilihat terbaring tidak disedarkan diri. Apabila kumpulan lelaki Thailand itu hilang, orang yang berada di situ datang untuk membantu mereka.

“Kami telah menangkap tiga dari empat tersangka dan telah mengeluarkan waran tangkap bagi seorang lagi yang masih diburu,” katanya lagi.

“Lelaki-lelaki itu berkata mereka meminta maaf dan mereka tidak mungkin melakukan itu jika mereka tidak mabuk,” kata Chaiyakorn lagi.

Anak lelaki pasangan suami isteri itu yang berusia 43 tahun dan ayahnya mengalami kecederaan di kepala dan memerlukan jahitan, ujarnya lagi.

Ibunya mengalami kecederaan lebih teruk, dengan mengalami pertambahan bendalir dalam otak yang telah pun dibuang, ujarnya.

“Pihak hospital masih menahannya bagi pemerhatian ke atas kecederaan serius kepala dan matanya.” – AP

ARTIKEL YANG SAMA