Tiga perlawanan berbaki

Tiga perlawanan berbaki

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Feb – Peringkat Kumpulan bagi Liga Bolasepak Daerah Brunei dan Muara 2015 akan berakhir tidak lama lagi dan kini hanya tinggal tiga perlawanan sahaja lagi dalam Kumpulan A.

Tiga perlawanan daripada keseluruhan 45 perlawanan peringkat kumpulan berkenaan dijadualkan berlangsung pada 14, 16 dan 19 Februari ini yang ketiga-tiganya akan melibatkan PESEJA United FC.

Perlawanan-perlawanan itu ialah PESEJA United FC lawan Sporting Family Team pada pukul 4:00 petang, Ahad, 14 Februari, Dagang FC lawan PESEJA United FC pada pukul 8:00 malam, Selasa, 16 Februari dan Seri Wira FC lawan PESEJA United FC pada pukul 8:00 malam, Jumaat, 19 Februari.

Dalam temu bual bersama Media Permata, Naib Yang Di-Pertua I Persatuan Bolasepak Daerah Brunei dan Muara (PBDBM), Haji Mohd Noor bin Haji Hamid selaku Pengerusi Kejohanan menjelaskan perlawanan penting di antara ketiga-tiga perlawanan itu adalah PESEJA United lawan Sporting Family Team.

Menurutnya perlawanan yang akan mengambil tempat di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah itu akan menjadi penentu kepada kemaraan kedua-dua buah pasukan ke pusingan kedua liga.

Haji Mohd Noor ketika memberikan ucapan.
Haji Mohd Noor ketika memberikan ucapan.

Daripada pihak Sporting Family Team, kemenangan pada perlawanan itu nanti akan mengesahkan tempatnya di pusingan kedua sebagai juara Kumpulan A dengan 12 mata, sekaligus meranapkan harapan kemaraan PESEJA United FC walaupun masih memiliki baki dua perlawanan selepas itu.

Kemenangan bagi pihak PESEJA United FC pula akan mencerahkan peluang kemaraannya ke pusingan kedua jika pasukan tersebut berjaya memenangi dua baki perlawanannya selepas itu. Manakala kekalahan kepada Sporting Family Team akan menyebabkannya terkandas di peringkat kumpulan sahaja dengan sembilan mata.

Jika perlawanan itu berkesudahan seri, Sporting Family Team akan mara ke pusingan kedua sebagai Naib Juara Kumpulan A dengan 10 mata, satu mata di belakang MSN United FC, manakala PESEJA United FC akan gagal mara walaupun menang baki dua perlawanannya selepas itu.

Kedudukan terkini Kumpulan A ialah MSN United FC 11 mata dari lima perlawanan, IKERAB FC sembilan mata dari lima permainan (+4 perbezaan gol), Sporting Family Team sembilan mata dari empat permainan (+3 perbezaan gol), Seri Wira FC empat mata dari empat permainan, PESEJA United FC satu mata dari dua perlawanan dan Dagang FC 0 mata dari empat permainan.

Haji Mohd Noor seterusnya mendedahkan bahawa tarikh bermulanya pusingan kedua akan dimaklumkan kemudian selepas Ahli Jawatankuasa (AJK) Tadbir PBDBM bermesyuarat pada 23 Februari nanti.

Para pengurus pasukan juga kemudiannya akan dipanggil pada Perjumpaan Bersama AJK Tadbir PBDBM bagi menentukan carta perlawanan pusingan kedua, tambahnya lagi sebelum mengakhiri perbualan. – Hasrulraizan