Tiga perlawanan bola sepak veteran diteruskan

Tiga perlawanan bola sepak veteran diteruskan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mac – Tiga perlawanan hujung minggu lalu dalam Kejohanan Bola Sepak Veteran Kebangsaan DST 2016 – Piala Presiden menyaksikan Mengelella menutup tirai dengan kemenangan besar ke atas MBS United di Kompleks Sukan Seria dengan keputusan 5 – 1.

Meskipun Pasukan MBS United membuka tirai jaringan di minit ke-5 perlawanan, permainan telah berubah corak apabila Mengelella FC mula mengatur serangan dan mendapat gol penyamaan melalui Syahminan Shamsudin yang berjaya menyumbat empat jaringan pada minit ke-27, 30, 42 dan 54.

Satu lagi jaringan Mengelella FC dibuat oleh Pengiran Osman Pengiran Haji Salleh sebelum jaringan penutup perlawanan berkenaan oleh Pengiran Kamarulzaman Taju di akhir perlawanan menjadikan kedudukan 5-2 menyebelahi pihak Mengelella FC.

Sementara itu dua perlawanan diadakan semalam menyaksikan Mix FFT menang besar ke atas B.O.B dengan jaringan 6-2 di Padang Penerbangan Diraja Brunei, sementara Pasukan KB Warriors terikat 3-3 dengan Pasukan PSJD di Pusat Rekreasi Brunei Shell.

Dalam perlawanan antara Mix FT menentang B.O.B, hanya satu jaringan dibuat oleh Pengiran Kamal Pengiran Haji Basar pada babak pertama perlawanan dan sejurus selepas minit ke-50 perlawanan semakin rancak yang menyaksikan tujuh gol telah dijaringkan.

Pada minit ke-50, Mix FT memulakan jaringan melalui Haji Hazaman Haji Matamit sebelum rakan sepasukannya Salleh Haji Mohd Som menyumbat satu lagi jaringan, namun B.O.B belum beralah dan berjaya membalas membuat dua jaringan.

Haji Abdul Malik Mohd Zaini dan Teo Hong Heng berjaya menggegarkan gawang gol Mix FT untuk mengejar kedudukan, namun Harapan B.O.B sebaliknya apabila Mix FT menambah tiga lagi jaringan melalui Mohd Effendy Abas, Salleh Haji Mohd Som dan Sahdan Haji Mohidin.

Satu lagi perlawanan di Pusat Rekreasi Brunei Shell di Seria menyaksikan Pasukan KB Warriors akur dengan satu mata yang dikongsi bersama PSJD dengan jaringan 3-3. Aksi berbalas-balas serangan adalah corak perlawanan di sana apabila jaringan mula dijaringkan oleh pasukan tuan rumah melalui Emran Yakub sebelum dibalas semua oleh pelawat melalui Tommy Kambang.

KB Warriors sekali lagi di hadapan melalui jaringan Haji Afandi Haji Julaihi namun kedudukan KB Warriors semakin kukuh apabila tidak lama kemudian Sahabat Mohd Kadi berjaya menempatkan KB Warriors di hadapan dengan mata 3 -1.

Namun pemain PSJD tidak turun sia-sia dan meneruskan perjuangan sehingga berjaya menyamakan kedudukan melalui dua jaringan oleh Tawang Siba dan Haji Anuar Haji Seidil.