Tiga perlawanan sekadar seri

Tiga perlawanan sekadar seri

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Sept – Tiga keputusan seri dicatatkan dalam Liga Remaja Bawah 16 Tahun (B-16) NFABD kelmarin dan catatan seri tanpa jaringan antara Rimba Star dengan Tabuan A di Padang NFABD adalah yang paling menyerlah.

Dua lagi keputusan seri adalah 2-2 antara Al-Idrus Junior dengan Kasuka FC pada perlawanan pertama di Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) dan 1-1 antara BTC Red Stars dengan Kilanas FC Junior pada perlawanan kedua di tempat yang sama.

Pasukan tercorot, PERDA FC menghidupkan peluangnya untuk menamatkan kempen pusingan ketiga liga berkenaan di tempat kelapan apabila menang tipis 1-0 ke atas pasukan di tempat kelapan, BESA FC di Kompleks Sukan Tutong (KST).

Tatkala semua pasukan hanya memiliki baki dua perlawanan dalam pusingan ketiga liga berkenaan, usaha Tabuan B menamatkan kempen musim ini selaku naib juara menerima tamparan hebat apabila ditewaskan pesaing utamanya, Projek Ikan Pusu (PIP) dengan jaringan 2-1.

Kekalahan itu turut mengekalkan Tabuan B di tangga keempat liga dengan 40 mata, dua mata di belakang Kasuka FC di tempat ketiga dan empat mata di belakang PIP di tempat kedua.

Penjaga gawang Rimba Star bertindak cemerlang menyelamatkan setiap percubaan Tabuan A (putih) sehingga perlawanan tamat 0-0.
Penjaga gawang Rimba Star bertindak cemerlang menyelamatkan setiap percubaan Tabuan A (putih) sehingga perlawanan tamat 0-0.

Bukan itu saja, jarak Tabuan B dengan pasukan di tempat kelima, Rimba Star, yang berjaya mengikat Tabuan A 0-0 berkat kecemerlangan penjaga golnya yang berjaya menyelamatkan banyak percubaan Tabuan A, turut berkurang menjadi dua mata saja.

Pada pertemuan buku dengan ruas antara Tabuan B dengan PIP, PIP mendahului 1-0 pada minit ke-15 hasil jaringan Abdul Hakeem, namun berjaya disamakan oleh Imam Mahdi pada minit ke-23 untuk kedudukan 1-1. Gol kemenangan PIP hadir seminit selepas rehat yang dijaringkan oleh Mohd Firdaus Fadzlullah.

Pertarungan sengit Al-Idrus Junior dengan Kasuka FC menyaksikan Al-Idrus Junior di depan 1-0 dua minit sebelum rehat melalui jaringan Mohd Shafiq Hidayat.

Kasuka FC membalas dengan dua jaringan, oleh Mohd Amir Izdhar pada minit ke-39 dan Izz Abdul Salam pada minit ke-47. Jaringan penyamaan Al-Idrus Junior dihasilkan oleh Mohd Bahariddin pada minit ke-50.

Gol tunggal PERDA FC dalam kemenangan 1-0 ke atas BESA FC pula hadir pada babak kedua iaitu minit ke-35 hasil jaringan Muhd Aiman Syafiq.

Sementara Kilanas FC Junior memastikan kepulangannya membawa satu mata apabila Mohd Hafiz bin Abdullah Ardi meledakkan gol penyamaan lima minit sebelum pengadil meniupkan wisel penamat selepas ketinggalan 0-1 kepada BTC Red Star pada minit ke-37 menerusi jaringan Mohd Aqil Asnawi.

ARTIKEL YANG SAMA