Tiga perwakilan PPNBD berlepas ke Jepun

Tiga perwakilan PPNBD berlepas ke Jepun

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Okt – Tiga orang pesuruhjaya pengakap Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) telah berlepas ke Jepun untuk menyertai Bengkel Pengurusan Tindakan Bencana Peringkat Rantau Asia Pasifik yang berlangsung selama lima hari hingga 9 Oktober ini.

Pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap yang dihantar oleh PPNBD berkenaan ialah Pesuruhjaya Pengakap Daerah Belait, Haji Mohd Salleh bin Haji Ahmad, Pemangku Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Risiko dan Keselamatan, Haji Murad bin Abdul Hadi dan Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Pengakap Berkeperluan Khas, Haji Mohammad Paizzal bin Haji Piluk.

Hadir untuk mengucapkan selamat berlepas kepada peserta bengkel di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini, ialah Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Badar bin Haji Ali.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Ismail bin Pehin Orang Kaya Ratna Setia Dato Setia Haji Awang A. Hapidz; Setiausaha Agung PPNBD, Haji Zainuddin bin Haji Jaafar dan Ketua Pegawai Eksekutif PPNBD, Haji Mohd Zali bin Haji Arsad.

Bengkel selama lima hari itu dianjurkan oleh Pergerakan Pengakap Rantau Asia Pasifik dengan kerjasama Persekutuan Pengakap Jepun di Pusat Kongres Antarabangsa Tsukuba, Ibaraki, Jepun.

Tiga perwakilan PPNBD sebelum berlepas ke Jepun.
Tiga perwakilan PPNBD sebelum berlepas ke Jepun.

Penyertaan rombongan dari PPNBD dalam bengkel berkenaan merupakan kesinambungan penyertaan mereka dalam Forum Pengurusan Risiko Peringkat Rantau Asia Pasifik anjuran pergerakan Pengakap Rantau Asia Pasifik dengan kerjasama Persekutuan Pengakap Malaysia yang berlangsung di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras, Kuala Lumpur, Malaysia pada 5 hingga 8 September lalu.

Bengkel di Jepun itu, akan menyaksikan penyertaan daripada lebih 40 orang pemimpin pengakap dari 17 buah negara rantau Asia Pasifik di mana ia bermatlamat untuk mengumpulkan pemimpin-pemimpin pengakap di peringkat kebangsaan dan daerah yang terlibat secara langsung, bertanggungjawab serta mempunyai minat dalam pengurusan bencana.

Bengkel itu juga bermatlamat untuk memberi pemahaman kepada punca risiko global, mengenal pasti kaedah pencegahan yang terbaik dalam pengurusan bencana dan cara terbaik untuk bersedia dalam memberikan tindak balas serta memulihkan semula daripada bencana baik di dalam dan luar negara.

Di akhir bengkel itu nanti, diharap para peserta akan dapat memperkenalkan konsep utama dalam pengurusan bencana, bagi mengenal pasti peranan pengakap di peringkat pra – peringkat semasa – peringkat pasca bencana serta dapat membangunkan sistem rangkaian di kalangan dan dalam pergerakan pertubuhan persekutuan pengakap dalam menguruskan kerja-kerja bantuan.

ARTIKEL YANG SAMA