Tiga premis dikenakan denda

Tiga premis dikenakan denda

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Okt – Tiga buah premis peniagaan iaitu sebuah restoran dan dua buah bengkel membaiki kenderaan dikenakan denda oleh Unit Penguatkuasaan, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan semasa pemeriksaan dalam Ops Bersih 33/2016 di Gadong.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Penguatkuasaan, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, hari ini, restoran tersebut dikenakan denda $200 kerana didapati melonggokkan sampah seperti bekas kotak, botol minyak dan sampah restoran, sebuah bengkel membaiki kenderaan dikenakan denda $200 kerana didapati melonggokkan botol bekas minyak enjin dan sebuah bengkel lagi dikenakan denda $500 kerana didapati menumpahkan sisa minyak enjin dan botol minyak.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa pemeriksaan mengejut itu dilakukan hasil daripada maklumat risikan awal yang dibuat.

Unit Penguatkuasaan akan sentiasa membuat pemantauan dan pemeriksaan ke atas premis-premis berkenaan dan mereka dinasihatkan untuk sentiasa memastikan kebersihan kawasan sekeliling premis mereka serta untuk tidak meninggalkan atau meletakkan barang-barang mereka di kawasan yang boleh menghalang laluan orang ramai dan untuk tidak membuang sampah ke dalam longkang.

Pihak berkenaan juga menasihatkan untuk memastikan bahawa kebersihan terus dipelihara dalam usaha untuk menghindar pembiakan nyamuk dan binatang pembawa penyakit seperti tikus.

Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan mengenai keadaan premis perniagaan yang tidak bersih, boleh menghubungi terus ke talian 2244151 sambungan 127.

ARTIKEL YANG SAMA