Tiga puluh dua pasukan berentap

Tiga puluh dua pasukan berentap

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Nov – Sebanyak 32 pasukan mengesahkan penyertaan mereka untuk berentap dalam kejohanan bola sepak 7 orang sepasukan veteran 6th Brunei 7’s International Soccer Challenge 2015, yang dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Veteran (VFA) Brunei Darussalam, pada 7 dan 8 November 2015, di Kompleks Sukan Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Berakas, di ibu negara.

Timbalan Setiausaha Agung VFA merangkap Pendaftaran dan Perhubungan Antarabangsa, Awang Jabar Ithnin, berkata 32 pasukan tersebut termasuklah juara bertahan kedua-dua kategori iaitu PSJD bagi Kategori Veteran (40 tahun) dan HM FC dari Johor Darul Takzim, Malaysia, bagi Kategori Masters (50 tahun). Selain itu terdapat juga penyertaan dari negara India iaitu Poovai Malar Veteran FC yang berpangkalan di Chennai, India, yang menyertai kedua-dua kategori veteran dan masters.

Sementara itu, cabaran juga datang daripada pasukan-pasukan tempatan yang tidak kurang hebatnya iaitu XN FT dan Al Idrus yang masing-masing dibarisi sebahagian besar daripada bekas pemain-pemain yang pernah membawa cabaran pasukan kebangsaan Negara Brunei Darussalam. Antaranya ialah Liew Chuan Fue, Pengiran Momin bin Pengiran Haji Ahmad, Ali Rashid, Azamanuddin bin Haji Gillen, Alijanda Sitom, Haji Hassan bin Haji Damit, Puncha Gunong dan ramai lagi.

Kejohanan dua hari itu menawarkan hadiah wang tunai $2,000.00 kepada johan setiap kategori dan $1,000.00 bagi naib johan, di samping piala iringan dan pingat. Jika dinilai dari jumlah pasukan yang menyertai maka kejohanan kali ini nampaknya bertambah meriah dengan pertambahan penyertaan berbanding tahun-tahun sebelumnya. Peningkatan tersebut jelas kelihatan dari tahun ke tahun sejak ianya mula diungkayahkan pada 2010 lalu.

Pasukan Poovai Malar Veteran FC yang berpangkalan di Chennai, India, yang menyertai kedua-dua kategori veteran dan masters.
Pasukan Poovai Malar Veteran FC yang berpangkalan di Chennai, India, yang menyertai kedua-dua kategori veteran dan masters.

Sehubungan itu, Awang Jabar berkata sebagai penganjur, VFA mengingatkan kepada para pengurus pasukan supaya hadir ke Mesyuarat Pengurus Pasukan yang akan berlangsung pada Jumaat, 6 November ini, jam 8.00 malam, bertempat di Dewan Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas. Pada mesyuarat tersebut, undian menetapkan kedudukan kumpulan setiap pasukan juga dijalankan, di samping penerangan mengenai peraturan dan format kejohanan oleh para pegawai kejohanan.

VFA juga menyeru kepada para peminat bola sepak tempatan agar datang beramai-ramai menyaksikan kejohanan tersebut sambil menyambung silaturahim antara pemain bola sepak veteran dan para penonton. Selain itu, kejohanan tersebut dianjurkan turut berperanan sebagai salah satu usaha untuk mempromosikan Negara Brunei Darussalam sebagai salah satu destinasi pelancongan.

“Melalui kesempatan ini VFA tidak lupa mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak-pihak berkenaan yang membantu penganjuran kejohanan tersebut sama ada pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, media cetak dan elektronik, sektor swasta, orang ramai, para peminat dan juga individu tertentu,” ujar Awang Jabar.