Tiga rumah, bilik sewa diperiksa

Tiga rumah, bilik sewa diperiksa

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jan – Dalam usaha memastikan undang-undang dan peraturan negara ini dipatuhi, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan semalam mengadakan pemeriksaan ke atas tiga buah rumah dan bilik sewa berasingan di Mukim Kilanas.

Operasi dikenali sebagai Operasi Kesan JIPK 03/2016 bermula jam 10:30 malam dan berakhir pada jam 3:30 pagi itu dipimpin oleh Ketua Pegawai Imigresen Kanan dan melibatkan 15 orang pegawai.

Seramai 10 orang warganegara asing termasuk dua orang perempuan ditahan kerana gagal menunjukkan pas imigresen yang masih sah. Manakala dalam dua serbuan berasingan pula, dua orang pesalah didapati bersembunyi dalam almari pakaian bagi mengelak ditangkap dalam serbuan pegawai penguat kuasa. Kesemua mereka dibawa dan ditahan sementara di Balai Polis Bandar Seri Begawan untuk siasatan lanjut.

Salah seorang pegawai ketika memberi penerangan semasa Jerayawara yang diadakan di salah sebuah premis perniagaan di Daerah Tutong.
Salah seorang pegawai ketika memberi penerangan semasa Jerayawara yang diadakan di salah sebuah premis perniagaan di Daerah Tutong.
Seorang lelaki pesalah imigresen cuba bersembunyi dalam almari pakaian.
Seorang lelaki pesalah imigresen cuba bersembunyi dalam almari pakaian.

Sementara itu, jabatan ini juga meneruskan jerayawara ke premis-premis perniagaan di Mukim Telisai, Keriam dan Pekan Tutong di Daerah Tutong bagi memberikan kefahaman dan pendekatan berhubung akta dan peraturan imigresen.

Pegawai-pegawai memberi penerangan kepada majikan, wakil majikan dan juga pekerja serta menyampaikan brosur mengandungi akta dan peraturan imigresen Penggal 17.

JIPK sudah pun mengadakan jerayawara sebanyak sembilan kali termasuk jerayawara bersama agensi penguatkuasaan lain dan ia berhasil menurunkan kadar kesalahan berkaitan akta dan peraturan imigresen.