Tiga sekawan cedera

Tiga sekawan cedera

Oleh Arissa

 

LIMBANG, 22 Sept – Hasrat tiga sekawan menjamu selera di sebuah gerai di kawasan sempadan Tedungan dekat sini bertukar tragedi apabila diserang sekumpulan lelaki bermotorsikal bersenjatakan parang, kayu dan kapak di kawasan itu malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam itu mangsa lelaki 17 tahun berbangsa Bisaya berjaya melarikan diri ke kedai berhampiran, manakala dua rakannya lain diserang sekumpulan lelaki terbabit.

Ketua Polis Daerah Limbang Superitenden Mohd Bukhori Saffai mengesahkan kejadian itu berkata dua lagi mangsa 18 dan 45 berbangsa Cina mengalami kecederaan di bahagian badan.

“Mangsa 18 tahun mengalami kecederaan di bahagian perut kiri, lutut kiri dan kanan serta siku kanan.

“Manakala seorang lagi mangsa 45, cedera di tangan kiri dan patah tulang tangan akibat ditetak oleh suspek terbabit,” katanya semalam.

Hasil siasatan kata beliau mendapati mangsa mengenali salah seorang suspek berkenaan.

“Kita juga telah menahan seorang anak suspek yang berada di tempat kejadian,”katanya sambil menambah punca kejadian masih dalam siasatan.

Katanya lagi pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah sudah di arah ke lokasi kejadian untuk mengesan suspek dan barang bukti.

Kes terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.