Tiga syarikat kena denda kompaun

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Unit Penguatkuasaan, Jabatan Bandaran BSB

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Nov – Tiga buah syarikat di kawasan Menglait, Gadong telah dikenakan denda kompaun setelah didapati melonggokkan dan meninggalkan sampah buangan serta perniagaan di kawasan premis di bawah kawalan Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (BSB).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Penguatkuasaan, Jabatan Bandaran BSB, setiap syarikat berkenaan dikenakan denda sebanyak $200 di bawah kesalahan Akta Kesalahan-kesalahan Kecil Penggal 30 Bab 12 (1) a, Syarikat.

Menurut kenyataan itu lagi, di bawah akta berkenaan, jika didapati melakukan kesalahan ia boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih $500. Jika gagal menjelaskan denda kompaun dalam satu tempoh yang diberikan maka kes berkenaan akan dihadapkan ke mahkamah.

ATAS & BAWAH: Sampah yang dilonggokkan di kawasan premis kawalan Jabatan BSB.

Jika sabit kesalahan, denda sebanyak $1,000 akan dikenakan bagi kesalahan pertama dan jika didapati bersalah buat kali kedua dan seterusnya akan dikenakan denda sebanyak $3,000 di samping hukuman penjara tidak melebihi tiga bulan.

Unit Penguatkuasaan akan sentiasa mengadakan operasi dari semasa ke semasa untuk memastikan individu dan syarikat-syarikat mematuhi syarat dan peraturan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil.