Tiga syarikat mengaku tidak bersalah

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Tiga buah syarikat tempatan yang didakwa atas kesalahan di bawah Perintah Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja 2009 dan Perintah Perkapalan Pedagang 2002, sehingga menyebabkan kematian seorang kru Kapal QESS USV1 berusia 24 tahun di kawasan Jeti Rasau Belait pada 3 Disember lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

QESS Energy Support Sdn Bhd didakwa atas kesalahan di bawah Seksyen 11 (a) Perintah Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja 2009, kerana gagal mengambil langkah untuk memastikan keselamatan di tempat kerja dan mencegah risiko kepada pekerja di premis itu.

Sebagai pemilik Jeti Rasau Belait, QESS Energy Support Sdn Bhd juga menghadapi tuduhan kerana gagal mengekalkan kemudahan yang secukupnya.

QESS Energy Support Sdn Bhd turut berdepan dakwaan di bawah Seksyen 14 (1) (c) Perintah Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja 2009 kerana gagal mengambil langkah-langkah yang munasabah untuk memastikan keselamatan pekerja-pekerja Kenyalang Marine Offshore Sdn Bhd atau pekerja Emas Laut Sdn Bhd (sub-kontraktor Kenyalang Marine Offshore Sdn Bhd), kerana gagal memastikan pelaksanaan laluan yang sesuai ke dan dari Kapal QESS USV1 termasuk gagal memastikan sistem laporan berhubung dengan tidak mematuhi sistem keselamatan prosedur kerja.

Sementara itu, QESS USV Sdn Bhd sebagai pemilik Kapal QESS USV1 didakwa atas kesalahan di bawah Seksyen 123 (3) Perintah Perkapalan Pedagang 2002 kerana tidak mengambil semua langkah yang munasabah untuk memastikan bahawa kapal tersebut telah dikendalikan dengan baik.

QESS USV Sdn Bhd sebagai pemilik kapal gagal untuk memastikan laluan adalah selamat dan tanpa memberi risiko kepada kru-kru kapal tersebut, kerana mereka menggunakan papan kayu sebagai laluan ke dan dari kapal.

Kenyalang Marine Offshore Sdn Bhd selaku pemilik tempat kerja di kapal tersebut juga didakwa kerana gagal mengambil langkah-langkah untuk memastikan bahawa semua laluan ke dan dari tempat kerja adalah selamat dan tanpa memberi risiko kepada pekerja di premis itu.

Syarikat itu juga gagal untuk memastikan bahawa laluan yang digunakan pada QESS USV1 adalah cara yang sesuai untuk pemindahan dari kapal termasuk gagal untuk menghalang amalan penggunaan papan kayu sebagai cara pemindahan dari kapal.

Syarikat juga didakwa gagal mengambil langkah-langkah untuk memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja (bukan pekerja mereka) kerana kegagalan mematuhi pengurusan keselamatan prosedur Kenyalang Marine Offshore Sdn Bhd dalam penggunaan laluan QESS USV1, termasuk membenarkan amalan penggunaan papan kayu sebagai jalan keluar dari Kapal QESS USV1.

Dakwaan terhadap syarikat itu adalah yang pertama di bawah Perintah Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja 2009 yang berkuat kuasa pada 1 Ogos 2013.

QESS Energy Support Sdn Bhd dan QESS USV Sdn Bhd diwakili Peguam Eric Siow dari firma guaman Lt Kol (B) Harif Eric manakala Kenyalang Marine Offshore Sdn Bhd diwakili Ahmad Basuni Abas dari Abrahams Davidson & Co.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Aldila binti Haji Mohd Salleh dan Emily Goh.

Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid menetapkan 25 Oktober untuk sebutan seterusnya.