Tiga tertuduh pendedahan skandal cukai LuxLeaks

Tiga tertuduh pendedahan skandal cukai LuxLeaks

LUXEMBOURG, 24 April – Luxembourg pada Selasa akan membicarakan tiga orang di sebalik pendedahan skandal LuxLeaks yang membabitkan negara Eropah kecil itu dalam penipuan cukai untuk beberapa syarikat terbesar di dunia.

Pemberi maklumat Antoine Deltour, bekas auditor di firma perkhidmatan PwC, wartawan Perancis Edouard Perrin dan Raphael Halet, seorang lagi bekas pekerja PwC, menghadapi dakwan mengenai kebocoran beribu-ribu dokumen.

Skandal LuxLeaks meletus pada November 2014, mendedahkan urus niaga yang menyelamatkan firma termasuk Apple, IKEA dan Pepsi berbilion-bilion dolar dalam cukai ketika Presiden Suruhanjaya Eropah Jean-Claude Juncker menjadi perdana menteri Luxembourg.

Beberapa siri saluran berita global meneliti dokumen setebal 28,000 muka surat yang diperoleh daripada Konsortium Wartawan Siasatan Antarabangsa (ICIJ), mendedahkan penipuan cukai besar-besaran yang dimenangi oleh 340 syarikat.

Kebocoran adalah yang terbesar sehingga Kertas Panama pada tahun ini mendedahkan hubungan di antara beberapa pemimpin antarabangsa dengan syarikat luar pesisir yang boleh digunakan untuk mengumpul kekayaan. Perbicaraan dijangka berlangsung sehingga 4 Mei.

Deltour dituduh mencuri dokumen daripada firma perakaunan sebelum beliau meletak jawatan pada tahun 2010, mendedahkan rahsia perniagaan, pencabulan rahsia profesional dan pembersihan wang. Halet, yang dituduh berada di sebalik satu kebocoran berasingan, menghadapi dakwaan yang sama.

Perrin, yang pertama menyiarkan artikel pada 2012 dalam satu program di stesen televisyen France 2 TV, dua tahun sebelum skandal memperoleh momentum, didakwa menjadi subahat dalam kesemua kesalahan. – AFP