Tiga veteran mahu cipta rekod kayuh basikal jelajah dunia

Tiga veteran mahu cipta rekod kayuh basikal jelajah dunia

KUALA TERENGGANU, 3 Mei (Bernama) – Tiga penunggang basikal veteran mahu mengukir nama dalam Buku Rekod Malaysia dengan melakukan penjelajahan ekspedisilasak berbasikal mengelilingi dunia yang dijadualkan bermula 1 Ogos depan.

Usaha itu dipelopori Sofian Mohamad, 55, yang merupakan anak jati Kampung Telaga Daing, Seberang Takir di sini bersama dua lagi rakannya dari Sarawak, Datuk Mohamad Kepli Ahmad, 62, dan Harmy Yusuf, 45, dalam usaha mempromosikan Malaysia sebagai negara yang sangat cintakan keamanan di mata dunia.

Sofian berkata mereka merancang siri penjelajahan itu sejak dua tahun yang lalu dengan mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan budaya, aspek keselamatan dan bentuk muka bumi di 25 buah negara yang bakal dilalui itu.

“Alhamdulillah, hasrat kami bertiga ini dipermudahkan dan mendapat kerjasama baik daripada Wisma Putra yang meluluskan permohonan kami pada Oktober tahun lepas serta Kedutaan Malaysia di setiap negara tersebut.

“Kami akan melaksanakan misi mengayuh basikal sejauh 30,000 kilometer dengan melalui 25 negara dalam tempoh 485 hari dan dijangka sampai semula keKuala Terengganu pada November 2016,” katanya.

Sofian berkata demikian kepada pemberita di majlis prapelancaran siri jelajah berbasikal itu serentak dengan Majlis Temuria Alumni 1978 SekolahMenengah Kebangsaan Tengku Bariah, di dewan sekolah berkenaan disini hari ini.

“Antara 25 negara yang akan dilalui ialah Thailand, Laos, China, Kazakhstan, Krygyzstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Azerbaijan, Georgia, Turki, Greece, Albania, Itali, Switzerland dan Perancis.

“Kami juga akan ke Sepanyol, Portugal, Denmark, Jerman, Belanda, United Kingdom, Jepun, Korea Selatan, China/Hong Kong, Vietnam, Brunei Darussalam dan kami menyasarkan untuk berbasikal sejauh 80 kilometer sehari, dengan melakukannya selama enam hari dalam seminggu,” kata bapa dua anak ini.

Sofian yang juga pensyarah di Politeknik Kuching, Sarawak berkata ketiga-tiga mereka melakukan pelbagai ekspedisi sejak tahun 2009, antaranya Kayuhan Merdeka Sarawak ke-50 Lawas-Kuching; ekspedisi Tawau, Sabah-Semantan, Sarawak, sejauh 2,600 kilometer dalam tempoh 14 hari; serta Kota Baharu, Kelantan-Kuantan, Pahang, dengan jarak kayuhan 700 kilometer.

ARTIKEL YANG SAMA