Tiga wakil PPNBD sertai forum di KL

Tiga wakil PPNBD sertai forum di KL

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Sept – Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), kelmarin, telah menghantar tiga orang wakilnya untuk menyertai Forum Pengurusan Risiko Peringkat Rantau Asia Pasifik yang diadakan di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras, Kuala Lumpur, Malaysia bermula pada 5 hingga 8 September.

Wakil peserta forum itu ialah Pesuruhjaya Pengakap Daerah Belait, Haji Mohd Salleh bin Haji Ahmad; Pemangku Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Risiko dan Keselamatan, Haji Murad bin Abdul Hadi; dan Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Pengakap Berkeperluan Khas, Haji Mohammad Paizzal bin Haji Piluk.

Hadir bagi mengucapkan selamat belayar kepada para peserta di Balai Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, ialah Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Badar bin Haji Ali; Pesuruhjaya Perhubungan dan Penerbitan Pengakap, Awang Mohammad Syahmi bin Halimshah; dan Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Keagamaan dan Penyelidikan, Awang Muhammad Arif bin Abdul Hadi.

Haji Badar bergambar ramai dengan wakil-wakil PPNBD yang menghadiri Forum Pengurusan Risiko Peringkat Rantau Asia Pasifik, di Malaysia selama empat hari bermula 5 hingga 8 September.
Haji Badar bergambar ramai dengan wakil-wakil PPNBD yang menghadiri Forum Pengurusan Risiko Peringkat Rantau Asia Pasifik, di Malaysia selama empat hari bermula 5 hingga 8 September.

Forum selama empat hari itu dianjurkan oleh pergerakan Pengakap Rantau Asia Pasifik dengan kerjasama Persekutuan Pengakap Malaysia, disertai oleh lebih 40 orang Pemimpin Pengakap dari tujuh buah negara dari Rantau Asia Pasifik.

Ia bermatlamat untuk memastikan strategi yang berbeza dan prosedur yang dikemas kini serta diterima pakai di dalam menguruskan risiko dalam pergerakan pengakap di setiap negara. Setiap negara mestilah mempunyai Polisi Pengurusan Risiko yang berkesan dengan sistem yang ditubuhkan untuk memantau keberkesanan pelaksanaannya.

Pada akhir program itu nanti, para peserta dihasratkan agar dapat memberikan penekanan semula dalam kepentingan dan kelebihan pelaksanaan dan pendekatan pengurusan risiko termasuk keselamatan daripada bahaya yang melibatkan kanak-kanak dan perlindungan belia, mengenal pasti dan mengkaji cabaran dalam pengurusan risiko dan dapat membuat penyelesaian serta berkongsi amalan yang terbaik daripada pergerakan pengakap di setiap negara melalui pengurusan risiko.

ARTIKEL YANG SAMA