Tiga warga tempatan tawan Gunung Kinabalu

Tiga warga tempatan tawan Gunung Kinabalu

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Nov – Tiga orang warga tempatan telah melakarkan kejayaan manis apabila berjaya mendaki puncak tertinggi di Asia Tenggara, Gunung Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.

Pendakian kumpulan yang terdiri daripada Awang Mohd Muizz bin Haji Mohd Jaini, Awang Abu Qusyairi bin Yacob dan Awang Mohd Amiel Azim bin Haji Afflon itu bermula pada 7 November lalu melalui pintu masuk Timpohon Gate, Gunung Kinabalu.

Mereka melalui laluan baru yang dikenali sebagai Laluan Ranau yang membawa mereka terus ke kawasan perkhemahan, di mana mereka bermalam di Laban Rata pada ketinggian 3,272m.

Perjalanan mereka bermula pada 0.5km sebelum melepasi tujuh pondok yang dinamakan bersempena dengan nama tanaman dan burung iaitu Pondok Kandis, Ubah, Lowii, Mempening, Layang-Layang, Villosa dan Paka pada 5.5 km.

Pendaki-pendaki berkenaan mengambil masa hampir 10 jam sebelum kumpulan terakhir tiba di Laban Rata pada pukul 6 petang apabila matahari mula terbenam.

Awang Mohd Muizz, Awang Abu Qusyairi dan Awang Mohd Amiel Azim ketika bergambar di atas puncak Gunung Kinabalu.
Awang Mohd Muizz, Awang Abu Qusyairi dan Awang Mohd Amiel Azim ketika bergambar di atas puncak Gunung Kinabalu.

Selepas makan malam dan rehat sebentar, sekitar jam 1:30 pagi keesokan harinya, para pendaki mula berkumpul di sebuah restoran bagi sarapan awal pagi sebelum meneruskan perjalanan. Biarpun keadaan cuaca yang sejuk, semua pendaki gembira untuk meneruskan pendakian.

Memandangkan pendakian semakin curam dan paras oksigen semakin berkurangan, para pendaki menjadi letih. Mereka dinasihatkan untuk berjalan secara tersusun agar tidak menghalang pendaki yang lain.

Mereka menggunakan lampu suluh untuk meneruskan pendakian dalam kegelapan, di mana hanya bunyi tapak kaki dan pernafasan kedengaran dalam kesunyian. Laluannya sempit dan permukaan berbatu–batu dengan hanya terdapat seutas tali tempat berpegang.

Menjelang 3:45 pagi, para pendaki berjalan mengikut rentak mereka ketika perjalanan naik yang semakin sukar, sempit dan berbatu-batu. Suhu serendah 5 darjah Celsius, namun dengan angin kuat ia seperti takat suhu beku.

Akhirnya pada 5:10 pagi, para pendaki yang terdiri daripada warga United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) dan Brunei merupakan antara para pendaki yang pertama berada di Low’s Peak (puncak) pada ketinggian 4,095m.

Seramai 61 orang pendaki dari Austria, Brunei Darussalam, Belanda, Malaysia, Singapura, Switzerland, UK dan AS telah menyertai pendakian tersebut. Mereka dibahagi-bahagikan kepada beberapa kumpulan dengan menggunakan khidmat pemandu jalan dan porter masing-masing yang disediakan oleh Sabah Parks.

ARTIKEL YANG SAMA