Tiga warga Thailand dihadapkan ke mahkamah

Tiga warga Thailand dihadapkan ke mahkamah

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Mac – Tiga warga Thailand dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan di bawah Perintah Pemerdagangan dan Penyeludupan Orang 2004 dan Akta Perlindungan Wanita dan Kanak-kanak, Penggal 120. Bagaimanapun, nama ketiga-tiga tertuduh tidak dapat didedahkan bagi melindungi identiti mangsa yang berusia 17 tahun.

Mereka yang berusia 47, 46 dan 44 tahun itu berdepan dakwaan mengeksploitasi mangsa bagi tujuan pelacuran, memperoleh pendapatan daripada perkhidmatan yang ditawarkan kepada mangsa, memperoleh keuntungan daripada mengeksploitasi mangsa, membenarkan mangsa untuk digunakan bagi tujuan pelacuran dan membawa mangsa ke satu tempat untuk memberikan khidmat seks.

Bagi kesalahan di bawah Perintah Pemerdagangan dan Penyeludupan Orang 2004, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi $1,000,000, pemenjaraan untuk tempoh yang tidak kurang daripada empat tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan.

Untuk kesalahan Akta Perlindungan Wanita dan Kanak-Kanak pula, boleh dikenakan pemenjaraan lima tahun dan juga denda $20,000 dan sebatan.

pg06_160323_mahkamah logo

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 5, 6 dan 9 Mac 2016 lalu.

Majistret Pengiran Shahyzul Khairuddien bin Pengiran Haji Abdul Rahman membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Karen Tan untuk kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

ARTIKEL YANG SAMA