Tiger mengaum bulan depan

Tiger mengaum bulan depan

NEW YORK, 8 Sept – Tiger Woods berharap dapat kembali menyertai kejohanan golf kompetitif di California bulan depan, tetapi juara major 14 kali itu berkata ia bergantung kepada tahap kecergasannya.

“Proses pemulihan saya kini pada tahap selesa untuk membuat perancangan, tetapi masih banyak kerja yang perlu saya lakukan,” kata Woods, 40, yang tidak beraksi di kejohanan kompetitif sejak Ogos tahun lalu.

“Sama ada saya dapat bermain atau tidak, ia bergantung kepada kemajuan dan proses pemulihan saya. Harapan saya ialah dapat bersedia untuk beraksi.”

Superstar golf itu yang belum pulih sepenuhnya daripada pembedahan belakang, mensasarkan Terbuka Safeway di Napa, California pada 13-16 Oktober ini sebagai medan kepulangannya ke kejohanan kompetitif.

Selepas kejohanan pertama dalam siri Jelajah PGA itu, dia bercadang untuk terbang ke Antalya bagi menyertai Terbuka Turkish Airlines pada November dan Hero World Challenge di Bahamas pada Disember bagi tujuan amal untuk Yayasan Tiger Woods.

Tiger Woods akan kembali menyertai kejohanan kompetitif di California bulan depan. – AFP
Tiger Woods akan kembali menyertai kejohanan kompetitif di California bulan depan. – AFP

“Harap-harap dapat beraksi di Napa, Turki dan Hero di Bahamas. Tidak sabar untuk beraksi kembali,” kata Woods di laman sosial Twitter.

Dia turut merancang untuk mengambil bahagian dalam Jemputan Tiger Woods anjuran yayasannya pada 10-11 Oktober sebelum memulakan jelajah.

“Ia boleh menjadi kejatuhan menyeronokkan. Sukar bila hilang kejohanan penting tetapi kali ini saya tidak mahu tergesa-gesa,” kata beliau.

“Adalah hebat menghabiskan masa dengan anak-anak saya dan juga bekerja di banyak projek termasuk reka bentuk padang golf, ulang tahun ke-20 yayasan saya dan buku saya mengenai Masters 1997. Tetapi saya rindukan persaingan.”

Woods belum memenangi kejohanan utama sejak Terbuka AS 2008 selepas bertarung dengan kecederaan lutut, kaki dan belakang. Pada masa-masa itu beliau tidak dapat memukul bola. – AFP