Tiger Woods bertambah baik

Tiger Woods bertambah baik

HONG KONG, 26 Ogos (AFP) – Prestasi Tiger Woods kian bertambah baik dan bintang golf Amerika Syarikat (AS) itu sedang berusaha keras untuk menghampiri tahap permainan sebenarnya selepas kempen mendukacitakan pada 2015.

Kenyataan itu diluahkan anak saudara kepada bekas pemain golf nombor satu dunia itu, Cheyenne Woods yang bermain dalam jelajah LPGA kepada AFP, hari ini.

Pemain baharu LPGA itu berkata adalah hebat untuk melihat bapa saudaranya itu beraksi di prestasi membanggakan ketika Jelajah PGA Kejuaraan Wyndham, minggu lalu.

Katanya, Woods akan bertambah baik selepas beraksi di kejuaraan terbabit. Woods menghuni kedudukan pendahulu menuju pusingan terakhir kejohanan penutup musim Jelajah PGA play-off itu selepas melakukan 64, 65 dan 68, kedudukan terbaiknya sejak dua tahun lalu.

Begitupun, catatan 70 yang dilakukan pada pusingan terakhir memaksanya ketinggalan empat pukulan di belakang pendahulu dan juara, Davis Love namun apa yang paling penting ialah ia kali pertama Woods menamatkan saingan di tempat 10 teratas sejak 2013.

Tiger Woods mengesat peluh di mukanya semasa menyertai Kejohanan Wyndham di Sedgefield Country Club 23 Ogos lalu. – AFP
Tiger Woods mengesat peluh di mukanya semasa menyertai Kejohanan Wyndham di Sedgefield Country Club 23 Ogos lalu. – AFP

“Saya fikir kita melihatnya minggu lalu yang segala-galanya berputar kembali dan dia melalui permainan golf yang hebat,” kata Cheyenne. “Ia mengujakan untuk dilihat dan dia hanya akan bertambah baik bermula daripada sini, saya yakin,” katanya.

Sekalipun kempen 2015 Woods boleh dianggap buruk, Cheyenne berkata fokus dan keinginan bintang golf dunia itu untuk kembali ke prestasi terbaik masih menyala.

“Kami jarang berbual namun semangatnya sentiasa hebat,” kata Cheyenne. “Dia sentiasa nampak seperti akan menjadi bertambah baik… mengharungi proses yang diperlukan untuk mencapai apa yang anda harapkan. Dia tahu prosesnya dan apa yang diperlukan.”