Tigres intai final Copa Libertadores

Tigres intai final Copa Libertadores

MONTERREY, Mexico, 29 Julai (AFP) – Tigres UANL sudah mengintai untuk memberikan kejutan kepada bola sepak Mexico lewat hari ini ketika berhadapan River Plate pada perlawanan pertama final Copa Libertadores.

Seramai 42,000 penonton dijangka memenuhi Stadium Universiti Monterrey apabila Tigres memulakan usaha mereka untuk menjadi pasukan pertama dari Mexico menjulang gelaran paling berprestij kelab bola sepak Amerika Selatan.

Tigres mengejar kemenangan perlawanan pertama yang meyakinkan sebelum pergi ke Buenos Aires untuk perlawanan timbal balik pada 5 Ogos untuk menafikan kemenangan ketiga Libertadores River selepas kemenangan 1986 dan 1996.

Bola sepak Mexico menaruh harapan yang tinggi selepas kejayaan pasukan kebangsaan dalam Piala Emas Ahad lalu di mana mereka menundukkan Jamaica pada final di Philadelphia.

Tigres telah berkembang dari segi kekuatan musim ini apabila mendapat suntikan semangat dengan kehadiran penyerang antarabangsa Perancis berkaliber tinggi Andre-Pierre Gignac dari Marseille awal tahun ini.

Mereka sudah bertemu dengan River pada peringkat kumpulan tahun ini dengan kesudahan 1-1 di Buenos Aires dan 2-2 di Monterrey.

“Kami perlu menghormati lawan tetapi kami juga mempunyai keyakinan dan kepercayaan yang hebat terhadap keupayaan kami untuk melakukannya dengan baik,” kata veteran antarabangsa Argentina River Javier Saviola selepas tiba di Monterrey kelmarin.