Tiguan milik Awang Masdi

Tiguan milik Awang Masdi

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Suatu kejutan tanpa diduga diiringi dengan senyuman penuh kegembiraan jelas terpancar pada wajah Awang Masdi Wijaya bin Haji Mohd Akhir apabila kunci yang dipilihnya berjaya menghidupkan enjin kereta Volkswagen Tiguan 4.1 TSI dan sekali gus menjadi pemenang bagi promosi Win With Helix Brunei Shell Marketing Co. Sdn Bhd (BSM), malam ini.

Sebanyak enam kunci telah diberikan untuk dipilih bagi menjadi pemenang hadiah utama promosi tersebut, namun rezeki berpihak pada Awang Masdi Wijaya tanpa memberikan peluang kepada saingannya Awang Late bin Anam.

Oleh yang demikian Awang Late bin Anam yang belum sempat memilih kunci mahupun mencuba untuk menghidupkan enjin kemudiannya dinobatkan menjadi pemenang tempat kedua dengan membawa balik pakej pelancongan untuk dua orang ke Korea selama empat hari tiga malam termasuk penginapan di hotel lima bintang.

Hadir menyampaikan replika kunci pada Majlis Cabutan Bertuah Hadiah Utama yang berlangsung di Atrium, The Mall, Gadong, di sini, ialah Pengarah Urusan BSM, Pengiran Shamary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha dan Pengurus BSP (Etika dan Pematuhan), Daniel Elustondo.

Sementara itu tempat ketiga pula dimenangi oleh Haji Yahya bin Haji Tuah dengan membawa pulang hadiah pakej untuk dua orang bagi menyaksikan Formula 1 Grand Prix 2016 di Sepang, Malaysia selama empat hari tiga malam.

Antara para pemenang bertuah yang membawa pulang hadiah masing-masing.
Antara para pemenang bertuah yang membawa pulang hadiah masing-masing.
Pengiran Shamhary dan Daniel Elustondo ketika menyampaikan kunci kereta kepada Awang Masdi Wijaya (tengah).
Pengiran Shamhary dan Daniel Elustondo ketika menyampaikan kunci kereta kepada Awang Masdi Wijaya (tengah).

Sepuluh pemenang hadiah sagu hati pula membawa pulang barisan hadiah-hadiah terdiri daripada barangan elektronik antaranya ialah Macbook Air, Apple iPhone 6s, Samsung 40″ LED Smart TV dan banyak lagi.

BSM telah pun menerima sejumlah 25,068 borang penyertaan sempena promosi yang bermula sejak bulan Jun lalu dan berakhir pada 31 Ogos 2016.

Dengan adanya majlis cabutan bertuah hadiah utama malam ini, cabutan bertuah bagi hadiah-hadiah sagu hati yang lainnya telah pun disempurnakan pada bulan Jun dan Julai yang lalu.

BSM ingin menyampaikan penghargaan kepada para pelanggannya yang turut serta dan memberikan sokongan berterusan dalam memilih Shell Helix sebagai pilihan untuk kereta mereka.

Selain acara malam ini, BSM juga menyediakan aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan bermula pada pukul 10 pagi tadi.

Antara aktiviti tersebut ialah Pertandingan Racing Simulator, makluman produk dan pondok-pondok jualan, jualan barangan Ferrari, LPG Regulator & Hose Sales dan peraduan mewarna untuk kanak-kanak berusia 4 hingga 7 tahun.

ARTIKEL YANG SAMA