Tiket feri Labuan-Menumbok laris

Tiket feri Labuan-Menumbok laris

LABUAN, 20 Jun (Bernama) – Hanya tinggal 15 hari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri tetapi orang ramai telah membeli awal tiket feri masing-masing untuk pulang berhari raya dengan keluarga masing-masing.

Tiket perkhidmatan feri yang membawa penumpang dan kenderaan ke Menumbok, Sabah dari Labuan yang disediakan oleh tiga syarikat bagi perjalanan siang dari 1 hingga 5 Julai ini telah habis dijual kecuali untuk beberapa tempat duduk perjalanan malam.

Kebanyakan daripada tiket itu dibeli sebaik sahaja ia dijual dua bulan lepas.

“Tiket lima hari sebelum raya untuk perjalanan siang ke Menumbok dari Labuan telah habis dijual kecuali perjalanan malam pada 2 Julai, kata seorang kakitangan Labuan Ferry Corporation (LFC) Sdn Bhd.

Tinjauan di terminal feri di sini mendapati ia sibuk dan sesak dengan orang ramai yang beratur untuk membeli tiket.

Terdapat lima feri yang beroperasi sekarang, Wawasan Perdana oleh LFC; Galaxy oleh Juta Bonus Sdn Bhd; Putrajaya 1, Kimanis 1 dan Goodwill Star oleh Labuan Mainland Link Sdn Bhd.

Labuan Points Sdn Bhd, ejen tiket untuk feri Putrajaya 1, Kimanis 1 dan Goodwill Star berkata tiket ke Menumbok hanya untuk 2 dan 4 Julai (perjalanan tambahan) dan 5 Julai untuk perjalanan malam.

Ejen tiket untuk Juta Bonus, Binabalu Sdn Bhd mengesahkan tiket perjalanan siang ke Menumbok dari 1 hingga 5 Julai telah habis dijual, kecuali untuk perjalanan pada jam 6:30 petang, 3 Julai yang tinggal hanya beberapa tempat duduk.

Seorang kakitangan kerajaan berasal dari Sandakan, Sabah, Mohd Yussof Idham, 44, berkata dia dan keluarga gagal untuk mendapatkan tiket ke tanah besar walaupun dia telah berada di kaunter sejak pukul 8 pagi hari ini.

“Nampaknya saya sekeluarga perlu naik feri ekspres tanpa kereta terus ke Kota Kinabalu dan menaiki bas ke Sandakan. Diharap masih ada lagi tiket, kalau tidak saya dan keluarga terpaksa menaiki bot laju ke Menumbok dan menaiki bas untuk mengharungi satu perjalanan yang jauh ke Kota Kinabalu, katanya.

Seorang penuntut institusi pengajian tinggi, Hamidah Basha, 20, yang merancang untuk menyambut raya bersama keluarga di Tawau, Sabah juga dalam keadaan yang sama.

“Saya berharap bapa atau abang saya akan membelikan tiket kapal terbang untuk saya pulang atau saya akan berhari raya bersama rakan saya di sini,” katanya.