Tiket feri laris di Labuan sempena musim cuti

Tiket feri laris di Labuan sempena musim cuti

LABUAN, 4 Dis (Bernama) – Tiket feri ke tanah besar Sabah dari Labuan, laris di terminal feri Labuan sejak dua hari lepas sempena musim cuti persekolahan dan cuti hujung minggu yang panjang bermula 24 Dis ini.

Permintaan bagi perjalanan dua hala dari Labuan ke Menumbok, Sabah meningkat, walaupun terdapat penambahan feri oleh pengusaha baharu.

Tiga pengusaha feri, Labuan Ferry Corporation Sdn Bhd (LFC), Labuan Mainland Link Sdn Bhd (LML) dan Juta Bonus Sdn Bhd menjual ribuan tiket lebih awal, sebelum bermulanya gabungan tiga cuti umum — Maulidur Rasul (24 Dis) dan Krismas (25 Dis) serta cuti penggal terakhir persekolahan.

Pada masa ini terdapat lima feri yang beroperasi — syarikat feri yang paling lama berkhidmat – LFC mempunyai sebuah feri; Wawasan Perdana yang mempunyai kapasiti mengangkut 60 hingga 70 kenderaan dan lebih 500 penumpang bagi setiap perjalanan; LML mempunyai dua feri (Putrajaya 1 dan MV Goodwill Star) juga mempunyai kemudahan sama serta Juta Bonus dengan ferinya — Kimanis 1 dan pengusaha feri terbaharu, MV Galaxy yang boleh memuatkan 88 kenderaan dan 343 penumpang.

Ketiga-tiga pengusaha feri itu menyediakan dua hingga tiga perjalanan sehari berikutan permintaan yang meningkat berbanding dua perjalanan pada hari biasa.

Pengerusi Majlis Tindakan Pengguna Labuan, Fauziah Datuk Mohd Din berkata peningkatan permintaan feri bagi perjalanan dari dan ke pulau itu adalah ‘petunjuk jelas’ bahawa pulau bebas cukai itu amat memerlukan jambatan untuk menghubungkan pulau itu ke tanah besar Sabah.