Tiket perlawanan dijangka laris

Tiket perlawanan dijangka laris

MADRID, 8 Jan (AFP) – Tiket bagi menyaksikan perlawanan antara Real Madrid dan Deportivo la Coruna dalam saingan La Liga di Santiago Bernabeu pada Ahad ini, dijangka habis dijual.

Perlawanan itu adalah kendalian pertama legenda Perancis, Zinedine Zidane selaku jurulatih selepas mengambil alih tugas berkenaan daripada Rafael Benitez.

Ribuan penyokong membanjiri kawasan padang ketika bekas pemain Real itu mengadakan sesi pertama latihan pada Selasa lalu, hanya beberapa jam selepas dia menggantikan Benitez yang mengendalikan pasukan itu selama tujuh bulan.

Zidane nyata cukup digemari di Bernabeu sepanjang tempoh lima tahun berkhidmat sebagai pemain terutamanya ketika meledak jaringan kemenangan di final Liga Juara-juara 2012.

Kunjungan Deportivo akan jadi perlawanan pertama pengendali baharu Real itu menguruskan pasukan di peringkat senior namun tugas sukar pasti menantinya.

Zinedine Zidane melatih pasukan di bawah kendaliannya sebagai persediaan menentang Deportivo La Coruna. - AFP
Zinedine Zidane melatih pasukan di bawah kendaliannya sebagai persediaan menentang Deportivo La Coruna. – AFP

“Ia adalah tugas yang mencabar dan sukar tetapi saya sambut cabaran ini. Saya mahu ambil cabaran dan cuba lakukan yang terbaik untuk raih gelaran.

“Saya akan puas hati apabila berjaya memenangi semuanya. Objektif kami adalah untuk menang dan akan cuba lakukannya sehingga akhir musim,” katanya.

Zidane juga sudah membayangkan untuk mengekalkan Cristiano Ronaldo, Gareth Bale dan Karim Benzema di barisan depan dan memiliki skuad penuh untuk dipilih termasuk ketua pasukan, Sergio Ramos yang sudah kembali berlatih.

Biarpun pergelutan mereka berada di bawah Benitez, Madrid begitu bahaya di tempat sendiri sejak kekalahan 4-0 kepada Barcelona pada November lalu, menjaringkan 25 gol dalam empat perlawanan lalu mereka di Bernabeu.

Bagaimanapun, kemunculan semula Deprotivo di bawah bekas pemain midfield Madrid, Victor Sanchez adalah salah satu pendedahan musim ini. Pasukan Galician itu hanya tewas tiga kali dalam liga musim ini dan sudah mendapatkan mata dari Barcelona dan Atletico.