Timba ilmu berkomunikasi di Thailand

Timba ilmu berkomunikasi di Thailand

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Pada alaf baru ini, sasaran hubungan komunikasi di rantau ini bukan sahaja dihasratkan untuk meningkatkan proses hubungan komunikasi dalaman dan luaran dalam organisasi pergerakan pengakap tetapi juga untuk mengkaji semula saluran hubungan komunikasi dari Pusat Sokongan Pengakap Rantau Asia Pasifik ke dalam pergerakan pertubuhan persekutuan pengakap.

Sasaran berkenaan adalah yang akan dibentangkan semasa bengkel Pengakap Rantau Asia Pasifik mengenai memperkukuhkan hubungan komunikasi dalaman dan luaran pengakap serta latihan untuk mencari cara yang lebih baik untuk berkomunikasi dengan pihak berkepentingan seperti sukarelawan, organisasi rakan kongsi, penderma, pengamal media, pembuat dasar dan pengaruh lain dalam masyarakat masa kini.

Apa yang penting adalah memahami dan menyampaikan mesej utama pengakap kepada generasi muda iaitu generasi Z atau generasi Internet, bagaimana untuk mencapai, berinteraksi dan memberi inspirasi kepada mereka walaupun melalui pelbagai saluran media, yang akhirnya dapat menyokong wawasan pengakap untuk menjadikannya sebuah organisasi pilihan untuk orang muda.

Sehubungan dengan itu, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) tidak ketinggalan untuk menghantar seorang Pegawai Eksekutif Pengakap, Awang Zainudin bin Haji Ishak bagi menyertai Bengkel Pengukuhan Perhubungan Komunikasi Dalaman dan Luaran dalam Berpengakap Peringkat Rantau Asia Pasifik yang berlangsung di Hotel Suan Sunandha Palace, Ratchawithi Road, Bangkok, Thailand bermula dari hari ini hingga 14 Oktober.

Hadir mengucapkan selamat berlepas kepada Awang Zainudin di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini, ialah Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Badar bin Haji Ali, Naib Yang Dipertua PPNBD, Haji Awang Abu Bakar bin Awang Haji Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif PPNBD, Haji Mohd Zali bin Haji Arsad.

Haji Awang Badar bersama Awang Zainudin di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Haji Awang Badar bersama Awang Zainudin di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Bengkel itu dihadiri oleh lebih 30 orang pemimpin pengakap yang terlibat dalam hubungan komunikasi dengan media massa di negara masing-masing dari 17 buah negara di rantau Asia Pasifik yang bertujuan serta dihasratkan untuk memastikan strategi berkesan dan prosedur yang dikemas kini serta diterima pakai dalam mengukuhkan hubungan komunikasi dalam pergerakan pengakap di setiap negara.

Bengkel empat hari anjuran pergerakan Pengakap Rantau Asia Pasifik dengan kerjasama Persekutuan Pengakap Thailand membawa tema ‘Bermaklumat, Berinteraksi, Berinspirasi!’ itu dihasratkan untuk mengumpul khususnya wartawan yang dilantik oleh pergerakan pertubuhan persekutuan pengakap, wartawan muda, penyelaras perutusan perdamaian, wartawan pengakap dan orang-orang yang bertanggungjawab untuk hubungan komunikasi pergerakan pertubuhan persekutuan pengakap mereka dan hubungan luar.

Ia bermatlamat untuk mengenal pasti dan memahami sasaran keahlian pengakap, untuk berkongsi taktik bagi perhubungan komunikasi dalaman dan luaran dengan menggunakan media konvensional dan media baru, untuk memahami pilihan yang ada, menyemak dan membuat cadangan untuk meningkatkan saluran hubungan komunikasi dari rantau Asia Pasifik dan dalam pergerakan pertubuhan persekutuan pengakap serta berpeluang mempelajari seni kemahiran untuk melaporkan dan berkongsi cerita-cerita pengakap melalui penggunaan sistem multimedia.

ARTIKEL YANG SAMA