Timba ilmu, pengalaman di China

Timba ilmu, pengalaman di China

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mei – Seorang ahli Persatuan Peniaga-peniaga Melayu Brunei (PPPMB) berlepas ke Fuzhou, China untuk menyertai Seminar Kapasiti MSE 2016 anjuran Fujian Foreign Trade and Economic Cooperation Official Training Centre di bawah kawalan Kementerian Perdagangan China.

Turut hadir mengucapkan selamat berlepas kepada Dayangku Hajah Maria Fadhila binti Pengiran Haji Abdul Rahman di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas ialah Presiden PPPMB, Dr. Haji Abdul Latif bin Haji Chuchu dan Timbalan Setiausaha Agung PPPMB, Awang Mohd Khairul Anwar.

Seminar dan kursus selama tiga minggu bermula 26 Mei hingga 13 Jun 2016 itu diharap akan dapat mengeratkan lagi hubungan baik yang terjalin antara Negara Brunei Darussalam dengan Republik Rakyat China serta membolehkan usahawan muda negara ini mempelajari teknologi termoden dalam bidang pertanian dan memahami aspek-aspek perniagaan yang mereka jalankan.

PPPMB berharap menerusi kursus dan seminar itu dapat membuka peluang kepada usahawan baru menimba pengetahuan dan membina jaringan hubungan, rangkaian kerja dan rakan kongsi dengan usahawan negara itu.

Dr. Haji Abdul Latif ketika ditemui melahirkan harapan agar Dayangku Hajah Maria memanfaatkan ilmu kemahiran yang dipelajari itu dalam perniagaannya serta mencurahkan segala yang dipelajarinya kepada usahawan muda yang lain.

Dayangku Hajah Maria (kiri) bergambar ramai sebelum berlepas ke Fuzhou, kelmarin.
Dayangku Hajah Maria (kiri) bergambar ramai sebelum berlepas ke Fuzhou, kelmarin.

Dayangku Hajah Maria yang merupakan pengasas bersama Kedai Kek Sapphira juga diharap akan dapat menjalin hubungan dengan usahawan tempatan di China dan akhirnya dapat mengembangkan perniagaan di luar negara atau menarik minat usahawan China untuk membuat pelaburan di negara ini.

Ketika ditemui beliau berkata, program itu diadakan tepat pada masanya ketika usahawan Negara Brunei Darussalam sedang menerokai bidang-bidang perniagaan yang baru untuk diceburi terutama dalam bidang perniagaan restoran dan banyak lagi.

“Saya berharap setelah menghadiri seminar ini, kami akan dapat merancang perniagaan kami dengan lebih sistematik supaya dapat mendorong kami dan mereka yang bercadang untuk menceburi bidang pertanian sebagai kerjaya perniagaan,” ujar beliau.

Awang Mohd Khairul pula berkata, hubungan erat persatuan tersebut dengan kerajaan China terutama pejabat Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam yang terjalin lebih 10 tahun lalu menjadi pendorong utama yang membolehkan negara kuasa besar itu berkongsi pengalaman dan teknologi.

ARTIKEL YANG SAMA