Timba ilmu, pengalaman sebaiknya untuk capai kajayaan

Timba ilmu, pengalaman sebaiknya untuk capai kajayaan

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Azrol Azmi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Okt – Pastinya pelbagai pengalaman pahit dan manis dilalui setiap mereka yang bergelar graduan universiti dan pengalaman itulah yang mendewasakan mereka serta mempersiapkan diri bagi bab baru kehidupan.

Ini juga tidak terkecuali bagi graduan Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang telah menerima sijil mereka pada Majlis Konvokesyen UBD ke-28 yang berlangsung di Dewan Canselor UBD, baru-baru ini.

Salah seorang graduan yang ditemui selepas menerima sijil pada majlis itu, Dayang Rakinah binti Mohd Azri@Basir, 23, berkata bahawa selama empat tahun menjalani Program Ijazah Sarjana Muda di UBD pelbagai ilmu diperolehi yang produktif, bermanfaat dan sesuatu yang tidak dapat dilupakan.

“Saya bersyukur kerana dapat bertemu rakan-rakan baru dan pensyarah di sepanjang perjalanan. Satu pengalaman ketika pengajian saya di UBD adalah belajar perkara baru iaitu bahagian yang terbaik daripada pendidikan, dan menyedari bahawa peperiksaan adalah hanya sebahagian kecil daripadanya,” ujar beliau yang mendapat mendapat Kepujian Kelas Pertama dalam Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Sejarah.

Menyentuh mengenai program ‘Discovery Year’, beliau telah dihantar ke University of California di Los Angeles, Amerika Syarikat untuk menjalani Program Pertukaran Pelajar.

Dayang Rakinah bersyukur kerana berjaya menjalani pembelajarannya di UBD dalam Program Ijazah Sarjana Muda dalam Sejarah.
Dayang Rakinah bersyukur kerana berjaya menjalani pembelajarannya di UBD dalam Program Ijazah Sarjana Muda dalam Sejarah.

“Beberapa profesor di sana adalah yang paling terkenal di dunia akademik dan saya bernasib baik untuk menghadiri kelas yang diketuai oleh seorang profesor yang dikenali, yang buku-bukunya digunakan sebagai bahan bacaan ketika di UBD.”

Selain itu, beliau juga mengongsikan bahawa sebagai seorang yang pertama kali menjalani program berkenaan, ia telah menguji kesabaran serta memberi dugaan pada diri beliau dalam pelbagai cara dan salah satu daripadanya membiasakan diri untuk berjaga malam dan menyelesaikan kerja hingga ke waktu siang.

“Sepanjang empat tahun pembelajaran saya, mereka telah menyaksikan turun naik saya, saya telah menangis di hadapan mereka dan saya telah berkongsi kebahagiaan saya dengan mereka.

“Ayah saya terutamanya, telah memberikan saya kata-kata nasihat dan semangat. Ibu saya pula selalu memberikan kata-kata dorongan seperti ‘teruskan sahaja walau apa sahaja yang berlaku’.

“Dan sekarang saya dengan berbangganya berkata bahawa Kepujian Kelas Pertama sebagai seorang penuntut adalah kepujian kelas pertama mereka sebagai ibu bapa. Terima kasih ayah dan ibu. Ini adalah yang paling kurang yang saya boleh berikan kepada ayah dan ibu dan masih tidak dapat menandingi dengan apa yang ayah dan ibu lakukan kepada saya!” ujarnya dengan bangga.

Awang Muhammad Hadi bersama sijil yang diterimanya.
Awang Muhammad Hadi bersama sijil yang diterimanya.

Sementara itu, bagi Awang Muhammad Hadi bin Idris yang menamatkan pengajian dalam Kajian Sejarah, sepanjang pembelajaran di UBD telah mengajarnya banyak kemahiran yang penting selain mempelajari banyak perkara lain, terutamanya dalam kursusnya.

Menurut beliau, kursus berkenaan bukan sahaja menyedarkan beliau tentang sejarah atau apa sahaja yang berlaku pada masa silam, tetapi juga yang lebih penting mengenai aspek pemikiran kritikal dan berkemampuan dalam mencari penyelesaian.

“Kesemua ini dapat memberikan manfaat kepada saya dalam kerjaya saya pada masa akan datang kerana saya boleh meletakkan semua kemahiran yang saya pelajari dan mengongsikannya,” jelas Awang Muhammad Hadi.

Beliau turut mengongsikan harapannya untuk meneruskan pengajiannya dan mendapatkan Ijazah Sarjana dalam bidang Pengurusan Perniagaan pada tahun depan, atas minatnya dalam menguruskan perniagaan dan sedang mencari pekerjaan bukan sahaja di sektor kerajaan tetapi juga di sektor swasta.

ARTIKEL YANG SAMA