Timba ilmu pengurusan masjid

Timba ilmu pengurusan masjid

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 11 April – Lima orang pegawai masjid Daerah Tutong, baru-baru ini, telah mengadakan lawatan muhibah ke beberapa buah masjid di Singapura dan Malaysia yang julung-julung kalinya dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong.

Hasil daripada lawatan tersebut, salah seorang pegawai masjid tersebut telah mengongsikan salah satu pengalaman yang berharga dalam program lawatan muhibah itu iaitu melawat Masjid Negara dan mengadakan perjumpaan dengan Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Datuk Syaikh Haji Ismail bin Haji Muhammad.

Menurutnya, daripada perjumpaan tersebut, Imam Besar Masjid Negara mengingatkan kepada pegawai-pegawai masjid supaya sentiasa istiqamah dalam memakmurkan di samping sentiasa memberi khidmat kepada masyarakat kerana Allah S.W.T.

Selain itu, rombongan juga mengadakan lawatan ke Masjid Universiti Teknologi Malaysia, Johor (UTM) yang mana masjid ini menggunakan teknologi dalam segala pengurusan dan pentadbiran, sebagai contoh mempunyai layar lebar yang besar semasa khutbah disampaikan.

Masjid itu juga berperanan sebagai pusat kegiatan ibadat, pusat kegiatan dakwah dan ilmu, pusat pentadbiran, pusat kegiatan sosial dan juga berperanan membangunkan modal insan dan memacu ummah amnya serta staf dan mahasiswa UTM khususnya ke tahap kecemerlangan di dunia dan akhirat.

Gambar kenangan rombongan Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong bersama Imam Besar Masjid Negara.
Gambar kenangan rombongan Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong bersama Imam Besar Masjid Negara.

Ketua rombongan tersebut, Haji Masri bin Haji Mohammad berkata, hasil program lawatan ini, ia telah memberi peluang kepada pegawai-pegawai hal ehwal masjid dalam menimba pengetahuan dan pengalaman yang luas seterusnya dapat meningkatkan motivasi diri ke arah kecemerlangan khususnya di bidang pengurusan dan pentadbiran masjid.

Beliau juga menyatakan harapan supaya lawatan muhibah ini akan diteruskan pada masa akan datang.

Program lawatan selama enam hari, 5 hingga 10 April lalu itu disertai oleh Haji Masri selaku ketua rombongan, Haji Aidil Sufian bin Mohd Yassin, Haji Junaidi bin Haji Sabtu, Haji Mahri bin Haji Metussin, dan Awang Khairulariffin bin Haji Yusof.

Program ini bertujuan untuk membina perhubungan rapat antara pihak masjid-masjid Malaysia, Singapura dan Indonesia, di samping dapat memupuk persefahaman dan kerjasama dalam pelbagai bidang khususnya bidang keagamaan.

Perlaksanaan program lawatan ini, natijahnya sedikit sebanyak akan dapat membantu pegawai memperolehi sumber maklumat yang berguna dalam melaksanakan pengurusan dan pentadbiran masjid, dan seterusnya memberikan pengalaman baru kepada pegawai yang terlibat.

Antara tempat yang telah dikunjungi ialah beberapa buah masjid seperti Masjid Al-Falah (Singapura), Masjid Sultan (Singapura), Masjid Raya (Provinsi Riau), Masjid Baiturrahman (Provinsi Riau, Masjid Negeri Sultan Abu Bakar (Johor), Masjid Jamel Kampung Melayu (Johor), Masjid Jamek (Kuala Lumpur) dan Masjid Putra Jaya (Selangor).

ARTIKEL YANG SAMA