Timba pengalaman berharga

Timba pengalaman berharga

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Sept – Lebih 100 pelajar dari lima buah sekolah menengah telah berjaya menamatkan Kem Jati Diri Program MP3 (Kumpulan C) dan diraikan dalam majlis penutup yang berlangsung di Dewan Serba Guna Taman Rekreasi Hutan Simpan Berakas, di sini, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan (Korporat) di Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Haji Azis bin Nayan.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Haji Azis menyatakan hasrat agar program MP3 tersebut dapat melahirkan penuntut berjaya dan berupaya mengharungi pelbagai aktiviti luar dan dalam yang telah disusun sepanjang tempoh perkhemahan itu dijalankan.

Beliau dalam ucapannya mengambil maklum bahawa aktiviti berkenaan memberikan penumpuan merangkumi nilai-nilai positif, budaya kecemerlangan, intelek, kepimpinan dan motivasi diri.

Selain itu, aktiviti ini juga dihasratkan dapat mentransformasikan kekuatan dan keterampilan diri yang jitu dalam diri penuntut bagi mengharungi dunia pembelajaran dan kehidupan yang mencabar. Melalui kem jati diri ini juga dapat memberikan pendedahan dan sebagai platform ke arah mempertingkatkan keupayaan mental dan fizikal di samping merapatkan silaturahim dalam kalangan rakan-rakan dari sekolah yang sama mahupun dari sekolah berbeza.

Tetamu kehormat ketika berucap di majlis penutup Kem Jati Diri Program MP3 sebelum menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Tetamu kehormat ketika berucap di majlis penutup Kem Jati Diri Program MP3 sebelum menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Pada majlis itu, tetamu kehormat turut menyampaikan hadiah-hadiah kepada Pemenang Peserta Terbaik setiap aktiviti lelaki dan perempuan, Pemenang Kumpulan Terbaik bagi Amazing Run, Pemenang Kumpulan Terbaik Keseluruhan, Pemenang Peserta Terbaik Keseluruhan Lelaki dan Perempuan.

Para peserta kem tiga hari berkenaan terdiri daripada pelajar dari Sekolah Menengah Rimba II, Sekolah Menengah Sayyidina Husain, Sekolah Menengah Muda Hashim, Sekolah Menengah Perdana Wazir dan Maktab Anthony Abell.

Wakil peserta, Awang William Ching Wei Ren, berkata selama tiga hari kem itu mereka bukan sahaja berkenalan dengan kawan baru, malahan merasakan kehidupan yang lain.

“Kami juga berpeluang belajar di luar sekolah dalam persekitaran alam semula jadi. Saya harap melalui kem ini, saya dan rakan-rakan bukan saja dapat meningkatkan pencapaian dari segi akademik, tetapi juga meningkatkan jati diri kami masing-masing,” tambahnya.

ARTIKEL YANG SAMA