Timba pengalaman berharga

Timba pengalaman berharga

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Okt – Setelah menghabiskan masa dua daripada tiga minggu menjalankan penempatan di SMARTER Brunei, pelajar-pelajar dari Unit Ketidakupayaan dan Penyertaan Sosial, Flinders University, telah banyak menimba pengetahuan.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Tinggi Australia di Bandar Seri Begawan, program pelbagai peringkat itu, telah menyaksikan mereka belajar mengenai teknik-teknik terapi inovatif daripada Pengasas dan Presiden SMARTER Brunei, Malai Haji Abdullah bin Haji Malai Othman dengan kerjasama pengamal penjagaan ketidakupayaan tempatan dari Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Kumpulan berkenaan juga telah berpeluang untuk mempelajari kebudayaan dan alam semula jadi Brunei dengan lawatan-lawatan ke Kampong Ayer, Pasar Malam Gadong dan Bukit Shahbandar.

Lapan pelajar Flinders University berkenaan berserta dua kakitangan berada di Brunei dengan sokongan Pelan Colombo Baru, yang merupakan inisiatif kerajaan Australia dengan tujuan untuk meningkatkan pemahaman penghargaan pelajar-pelajar Australia bagi rantau Indi-Pasifik menerusi geran-geran dan biasiswa.

Antara aktiviti yang dijalankan oleh para pelajar Flinders University ketika berada di Brunei.
Antara aktiviti yang dijalankan oleh para pelajar Flinders University ketika berada di Brunei.

Menurut kenyataan itu lagi, kumpulan berkenaan akan menunjukkan hasil kerja keras mereka menerusi pembentangan pada Persidangan Kebangsaan Brunei mengenai Autisme ke-7 yang akan diadakan di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, Lapangan Terbang Lama Berakas, pada 9 hingga 11 Oktober 2015.

Barisan pembentang juga akan termasuk pakar-pakar dalam penjagaan ketidakupayaan dan autisme dari Australia, Filipina dan Brunei.

Selain itu, para peserta persidangan, rakan-rakan dan keluarga juga dialu-alukan untuk menyertai para pelajar berkenaan, warga SMARTER dan kakitangan Suruhanjaya Tinggi Australia dan jemputan pada Malam Gala pada 10 Oktober di Dewan Digadong, KKBS.

Pendaftaran bagi persidangan dan Malam Gala berkenaan kini dibuka menerusi SMARTER, orang ramai boleh menghubungi talian 7172991 bagi maklumat lanjut.

ARTIKEL YANG SAMA