Timba pengalaman berharga

Timba pengalaman berharga

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jan – Lima orang pemain sepak takraw kebangsaan Brunei Darussalam memberikan segala-galanya ketika turun menentang Indonesia dalam perlawanan separuh akhir Lelaki Quadrant, Kejohanan Sepak Takraw 5-Negara 2016 petang ini tetapi akhirnya terpaksa akur kalah tipis 2-0 dengan mata 20-22, 18-21.

Sehubungan dengan itu, skuad negara menduduki tempat ‘ketiga bersama’ dalam acara Lelaki Quadrant kejohanan tersebut.

“Para pemain kita telah berusaha sedaya upaya mereka memberikan saingan sengit kepada pemain lawan. Kita kalah tetapi kita perlu berbangga dengan pencapaian menduduki tempat ketiga bersama dan nyaris melangkah ke final,” ujar Awang Mohd Isa bin Haji Marsidi selaku Pengurus Pasukan.

Ia menjadi satu pengalaman berharga buat para pemain dalam menghadapi kejohanan peringkat serantau dan antarabangsa di masa akan datang. Kejayaan yang dicapai dalam kejohanan ini pastinya akan menjadikan pasukan kita bertambah kuat lagi, tambahnya.

Skuad Sepak Takraw Negara berjaya menduduki tempat ketiga bersama dalam acara Lelaki Quadrant pada Kejohanan Sepak Takraw 5-Negara 2016, Malaysia.
Skuad Sepak Takraw Negara berjaya menduduki tempat ketiga bersama dalam acara Lelaki Quadrant pada Kejohanan Sepak Takraw 5-Negara 2016, Malaysia.

Indonesia akan menentang Malaysia A dalam perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung malam ini juga bermula pukul 8 malam.

Pasukan negara berjaya melangkah ke separuh akhir selepas menduduki tangga kedua Kumpulan A berikutan kemenangan 2-0 dengan mata 21-19, 21-16 ke atas Singapura pada sebelah petang walaupun kemudiannya kalah kepada Malaysia B. Selain menyertai acara Lelaki Quadrant, skuad negara telah menyertai acara Lelaki Regu tetapi gagal mara ke separuh akhir selepas tewas dalam kedua-dua perlawanannya di peringkat kumpulan dalam Kumpulan A iaitu 1-2 (23-21, 20-22, 20-22) kepada Filipina dan 0-2 (12-21, 11-21) kepada Malaysia B.

Enam buah pasukan telah menyertai kedua-dua acara dalam kejohanan di Kuala Lumpur, Malaysia berkenaan iaitu tuan rumah, Malaysia A dan Malaysia B serta empat buah negara anggota ASEAN iaitu Brunei Darussalam, Singapura, Indonesia dan Filipina.