Timba pengalaman berharga

Timba pengalaman berharga

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 April – Setelah kejayaan kumpulan Mentingal dalam Siri QR1 di Johor Bahru dalam Kejohanan Golf Antara Pasukan Amatur Dunia pada Mac 2016, kali ini tiba giliran Kumpulan Kazan pula untuk tampil meraih kejayaan.

Meskipun tidak berjaya menjuarai kejohanan dalam siri kedua ini Pasukan Kazan yang disertai Haji Yusof Latif, Zaini Abdul Rahman, Pengiran Zamani Pengiran Ahmed dan Muhd Zamri Dato Hamdani perlu diberikan pujian kerana berjaya memberikan tentangan hebat kepada pasukan-pasukan antarabangsa yang lain.

Dengan 995 pukulan keseluruhan Pasukan Kazan dinobatkan pemenang tempat ketiga di belakang Pasukan Maybank A dari Malaysia di tempat kedua dan Macam Boleh dari Australia di tempat pertama.

Apa yang lebih menarik dalam kejohanan golf anjuran Pelancongan Malaysia ini ialah kejayaan pasukan Brunei yang menamakan diri mereka Ambuyat yang berjaya meraih kejayaan dalam Kategori Berpasukan Stableford mengalahkan Pasukan Kung dari Australia.

Kedua-dua pasukan Brunei Darussalam yang berjaya dalam edisi kedua Kejohanan Golf WAITGC di Sabah, Malaysia baru-baru ini.
Kedua-dua pasukan Brunei Darussalam yang berjaya dalam edisi kedua Kejohanan Golf WAITGC di Sabah, Malaysia baru-baru ini.

Ambuyat meraih 456 mata dalam edisi ke-20 WAITGC yang berlangsung di Dalit Bay GCC dan di Borneo GCC bermula 18 hingga 21 April 2016 yang lalu dan antara pemain yang disenaraikan dalam kumpulan itu ialah Azaman Daud, Kahar Bakar, Jamal Haji Hassim dan Haji Momin.

Pasukan Ambuyat sekali lagi membuktikan kemampuan pemain-pemain negara dalam menjuarai kejohanan antarabangsa apabila berjaya meneruskan penguasaan pemain Brunei dalam kategori berkenaan setelah kejayaan kumpulan TEN TEN dalam edisi Johor Bahru awal tahun ini.

WAITGC akan meneruskan siri ketiganya di Pulau Pinang pada 30 Mei hingga 2 Jun nanti sebelum edisi keempat diadakan pada Ogos di Kuala Lumpur dan edisi kelima di Sarawak pada September diikuti dengan pusingan akhir yang bakal diumumkan sedikit masa lagi.