Timba pengalaman berharga di sini

Timba pengalaman berharga di sini

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Dis – Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Todd Mercer, hari ini telah mengadakan Majlis Resepsi Selamat Jalan kepada seorang Felo Rancangan Baru Colombo 2015, Alana Tolman.

Majlis minum petang yang diadakan di kediaman rasmi TYT Todd Mercer di Jalan Kota Batu itu dihadiri kira-kira 20 rakan sekursus Tolman sepanjang menuntut di Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan komuniti perniagaan yang menyampaikan ucap selamat kepada beliau yang akan kembali ke Australia untuk menyambung pengajiannya di Universiti Kebangsaan Australia di Canberra, mulai 2016.

Alana Tolman merupakan penerima Biasiswa Kerajaan Australia berprestij yang membiayai pengajiannya dalam jurusan undang-undang di UBD selama setahun.

Mengimbas kembali detik pengajiannya di UBD, Tolman berkata, beliau menikmati setiap detik pengajiannya di negara ini serta mempelajari banyak perkara yang akan kekal dalam ingatannya buat selama-lamanya.

Tuan Yang Terutama bersama Alana Tolman di majlis resepsi di kediaman rasmi beliau.
Tuan Yang Terutama bersama Alana Tolman di majlis resepsi di kediaman rasmi beliau.
Tuan Yang Terutama Todd Mercer bersama Alana Tolman dan rakan sekursus yang hadir di majlis resepsi itu.
Tuan Yang Terutama Todd Mercer bersama Alana Tolman dan rakan sekursus yang hadir di majlis resepsi itu.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan rasa terima kasih kepada UBD dan Pertubuhan Undang-undang Negara Brunei Darussalam, terutama kepada Peguam Cara dan Peguam Bela Rozaiman Abdul Rahman serta Peguam Cara dan Peguam Bela Pengiran Izad dan Lee yang menjadi mentor saya sepanjang menjalani latihan di sini,” kata Tolman.

Katanya, pertubuhan undang-undang itu serta kedua-dua syarikat guaman tersebut telah memberinya peluang berharga untuk mendalami pengamalan undang-undang di negara ini secara praktikal.

Ujarnya, pengajian yang dijalani di UBD telah membolehkan beliau memahami dengan lebih mendalam lagi mengenai rantau ini, yang sekali gus membolehkannya mencuba pendekatan baru terhadap pengajian akademik.

Rancangan Baru Colombo merupakan satu inisiatif kemegahan kerajaan Australia yang menyediakan peluang baru kepada pelajar universiti di Australia untuk melanjutkan pengajian dan menjalani kursus latihan di negara rantau Indo-Pasifik.

Matlamat rancangan itu adalah untuk meningkatkan pengetahuan mengenai rantau ini di Australia, mewujudkan kemahiran kepimpinan dan memupuk hubungan silaturahim dalam kalangan pelajar institusi Australia dengan penduduk setempat.

ARTIKEL YANG SAMA