Timba pengalaman berharga

Timba pengalaman berharga

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Sept – Walaupun tidak menang, dua qari negara yang menyertai Pertandingan Musabaqah Tilawah Quran Antarabangsa III, di Jakarta, Republik Indonesia, pulang ke tanah air, hari ini, dengan pengalaman yang sangat berharga untuk melakukan yang terbaik di masa akan datang.

Kepulangan Awang Mohd Abu Hurairah binti Awang Ariffin yang menyertai Kategori Menghafaz 3 Juz Al-Quran dan Pengiran Muhammad Amirul Aiman bin Pengiran Haji Marjuki peserta Kategori Tilawah Al-Quran yang diiringi oleh Awang Adi Nuriman bin Pengarah Haji Abdullah selaku pengurus rombongan, Haji Wasli bin Haji Abu Bakar selaku pembimbing, di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, telah dialu-alukan oleh pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Pengiran Mohammad Amirul Aiman, yang merupakan tenaga pengajar di Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah telah menduduki tempat kelima dalam pertandingan berkenaan.

Menurut beliau, latihan intensif yang diberikan masih belum mencukupi untuk menandingi para peserta dari negara-negara antarabangsa, akan tetapi peluang daripada menyertai pertandingan berkenaan akan dapat memperhalus lagi pembacaan dalam Kategori Tilawah Al-Quran.

Para qari negara disambut tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Para qari negara disambut tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Sementara, Awang Muhd Abu Hurairah yang merupakan mahasiswa Qiraat Shubra Al-Azhar Mesir pula berada di tempat ke-14 dalam kategori yang disertainya, dan berkata pengalaman para peserta dari negara-negara lain memang cukup susah untuk ditandingi, akan tetapi ia tidak mustahil untuk diraih.

Kekurangan semasa pertandingan kali ini, katanya, akan dapat menjadi pengalaman dan pengajaran untuk diperbaiki dan jika mempunyai peluang untuk menyertainya lagi, beliau akan dapat memberikan yang terbaik.

Pertandingan Tilawah Quran telah dijuarai oleh peserta dari Republik Indonesia, tempat kedua dimenangi peserta dari Filipina, peserta Iran menduduki tempat ketiga.

Manakala itu, juara Kategori Menghafaz 30 Juz Al-Quran disandang oleh peserta dari Iran, tempat kedua dari Algeria dan tempat ketiga dari Filipina.