Timba pengalaman di Singapura

Timba pengalaman di Singapura

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Okt – Pengalaman, ilmu pengetahuan dan perancangan yang dilaksanakan oleh Singapura khususnya dalam pembangunan ekonomi serta negara, diharapkan dapat dimanfaatkan dan dijadikan model bagi merancang program yang boleh membantu pembangunan Brunei yang mapan selaras dengan hasrat Wawasan 2035.

Harapan itu disuarakan oleh Pemangku Penolong Pengarah, Penyelidikan, Perkembangan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Haji Mohd Asran bin Pengiran Haji Mahmud yang mengetuai rombongan belia bagi Program Pertukaran Kepimpinan Belia Singapura-Brunei (SBYLEP).

Selain itu, program tersebut juga memberikan peluang kepada belia dari kedua-dua negara untuk berinteraksi dan membentangkan idea masing-masing mengenai cabaran dalam mencapai hasrat pembangunan mapan, katanya kepada Media Permata sebelum berlepas ke Singapura, hari ini.

Hadir di lapangan terbang untuk mengucapkan selamat belayar dan memberikan kata-kata nasihat kepada rombongan belia itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Program SBYLEP selama empat hari dari 17 hingga 20 Oktober disertai oleh 15 orang belia yang benar-benar sudah matang sebagai syaratnya supaya dapat menerima manfaat maksimum daripada kegiatan yang diadakan sepanjang program berkenaan.

Dato Paduka Dr. Haji Affendy bergambar-ramai dengan para peserta Program SBYLEP.
Dato Paduka Dr. Haji Affendy bergambar-ramai dengan para peserta Program SBYLEP.

Program SBYLEP yang diadakan secara bergilir-gilir selama empat tahun berturut-turut bermula 2014 menunjukkan hubungan yang amat erat di antara Brunei dan Singapura. Ia adalah hasil cetusan idea peringkat tertinggi kedua-dua negara untuk membangunkan kebolehan kepimpinan belia.

Program SBYLEP ketiga yang dihoskan oleh Singapura dengan tema ‘Sustainable Development: Building Inclusive and Resilient Cities’, memberikan peluang kepada para peserta pendedahan dan penekanan kepada pelbagai perisian untuk meningkatkan pendidikan nilai dan memupuk jati diri.

Di samping itu, para peserta juga diberikan pendedahan kepada senario kota kosmopolitan, memupuk hubungan sihat, memberi galakan belajar serta untuk menimba ilmu pengetahuan menerusi sesi perkongsian maklumat dan pembentangan idea.

Kelmarin, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, telah mengadakan perjumpaan dengan para peserta SBYLEP di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Semasa perjumpaan itu, Yang Berhormat Pehin telah memberikan suntikan semangat kepada para peserta supaya mereka dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan melalui program itu menerusi interaksi yang membina serta membawa pulang amalan-amalan terbaik supaya dapat dilaksanakan di Brunei.