Timba pengalaman pemimpin kampung ASEAN

Timba pengalaman pemimpin kampung ASEAN

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Nov – Serombongan empat orang terdiri daripada tiga ketua kampung dan diketuai oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Haji Azmi bin Haji Abdul Rahim berlepas ke Nanning City, Guangxi, China untuk menyertai Program Pertukaran Pemimpin-pemimpin Kampung ASEAN+3, kali ketiga yang berlangsung selama tujuh hari bermula hari ini.

Tiga ketua kampung yang terpilih itu ialah Ketua Kampung Masjid Lama, Pekan Muara, Sabun & Pelumpong, Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman; Ketua Kampung Pandan ‘B’, Daerah Belait, Haji Abdul Malik bin Abu Bakar dan Ketua Kampung Batu Apoi, Daerah Temburong, Haji Daud bin Haji Masri.

KHEDN dalam satu kenyataan di sini berkata, program pertukaran tersebut adalah anjuran International Poverty Reduction Center in China dan disokong oleh Sekretariat ASEAN.

Ia antara lain bertujuan untuk membina kapasiti Pertukaran Pemimpin-pemimpin Kampung ASEAN+3 melalui perkongsian pengetahuan hal ehwal berkaitan dengan pembangunan ekonomi, infrastruktur dan pembangunan modal insan bagi meningkatkan pembangunan luar bandar.

Fokus utama program pada tahun ini adalah untuk menyediakan pembangunan pengurusan kemasyarakatan bagi mempertingkatkan kapasiti yang diperlukan untuk mewujudkan tindakan-tindakan bersepadu.

Delegasi negara bergambar ramai sebelum berlepas ke Nanning City kelmarin.
Delegasi negara bergambar ramai sebelum berlepas ke Nanning City kelmarin.

Pengalaman China seperti isu mengurangkan kemiskinan di kawasan-kawasan pedalaman dalam ketulusan menguruskan kampung-kampung dan pembangunan perancangan kampung akan diperkenalkan untuk dikongsikan sama.

Di samping itu juga, negara-negara ASEAN (Brunei Darussalam, Malaysia, Singapura, Myanmar, Laos, Vietnam, Thailand, Filipina, Kemboja, dan Indonesia) akan membentangkan kertas kerjanya masing-masing termasuk juga Republik Korea dan Jepun di dalam program ini.

Menurut kenyataan itu lagi, Program Pertukaran Pemimpin-pemimpin Kampung ASEAN+3, kali ketiga ini akan memberikan pengalaman, pengetahuan dan pendedahan peserta-peserta (ketua-ketua kampung) bagaimana pihak kerajaan tempatan China menangani masalah kemiskinan di beberapa kawasan kampung yang kurang maju dan miskin di kawasan Sichuan dengan bantuan dan kerjasama pihak kerajaan melalui penglibatan pemimpin-pemimpin akar umbi.

Program ini juga membolehkan para peserta berkongsi maklumat di antara peserta-peserta kursus melalui taklimat perbincangan daripada perkongsian maklumat di antara peserta-peserta. Peserta juga akan ditempatkan di kawasan-kawasan perkampungan untuk benar-benar melihat keadaan dan tempat perkampungan di sana.