Timba pengetahuan sebelum masuk PTE

Timba pengetahuan sebelum masuk PTE

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mac – Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab (SMSUA) hari ini telah mengadakan taklimat bagi pelajar Tahun 11 mengenai syarat-syarat kemasukan ke Pusat Tingkatan Enam (PTE) Sengkurong.

Taklimat dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Ketua Pelajar Pembimbing Rakan Sebaya (PRS), Awang Abdul Hadi bin Abdul Halim dan kemudian diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Timbalan Pengetua Akademik, Hajah Rosiah binti Haji Gharif.

Menurut kenyataan SMSUA di sini, tujuan taklimat ini diadakan ialah bagi mendedahkan kepada para pelajar sebagai persediaan awal untuk mengetahui syarat-syarat atau kelayakan mata pelajaran dan kesesuaian yang akan dipelajari di PTE Sengkurong.

Sesi taklimat disampaikan oleh Guru Kanan Akademik, PTE Sengkurong, Dayang Halinah binti Apong yang membincangkan mengenai syarat-syarat kemasukan para pelajar lepasan ‘O’ Level ke peringkat PTE.

Antara pelajar yang hadir mendengarkan taklimat tersebut.
Antara pelajar yang hadir mendengarkan taklimat tersebut.

Seterusnya taklimat dari Bahagian Kerjaya, Dayang Siti Khadijah, diikuti taklimat mengenai perdagangan daripada Pengiran Mukmin dari Bahagian Perdagangan dan taklimat mengenai subjek Bahasa Melayu dan Sastera yang disampaikan oleh Hajah Rashidah.

Sesi konsultasi juga turut diadakan bagi memudahkan para pelajar untuk memilih subjek-subjek yang layak dan sesuai dengan kemahiran dan kemampuan para pelajar.

Di akhir majlis, para penyampai taklimat diberikan cenderahati penghargaan yang disampaikan oleh Guru Kanan Akademik SMSUA, Awang Nuur Hadi bin Haji Dewa.

ARTIKEL YANG SAMA