Timbalan Menteri Pertahanan terima kunjungan pengenalan

Timbalan Menteri Pertahanan terima kunjungan pengenalan

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jun – Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit, hari ini, telah menerima kunjungan pengenalan daripada Duta Besar Thailand ke Brunei Darussalam, Biravij Suwanpradhes, di Bolkiah Garrison di sini.

Pada kunjungan berkenaan, kedua-dua pihak telah meluahkan rasa berpuas hati dengan hubungan dua hala di antara Brunei Darussalam dan Thailand terutamanya dalam bidang pertahanan.

Dalam kerjasama Pertahanan antara tentera, Timbalan Menteri Pertahanan berharap bahawa angkatan bersenjata kedua-dua buah negara akan terus bekerjasama rapat pada semua peringkat.

Beliau juga memuji sokongan kuat Thailand dalam semua inisiatif Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM Plus yang dihoskan oleh Brunei Darussalam.

Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz menerima cenderamata daripada Biravij Suwanpradhes di Bolkiah Garrison kelmarin.
Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz menerima cenderamata daripada Biravij Suwanpradhes di Bolkiah Garrison kelmarin.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pertahanan turut mengucapkan tahniah dan menyatakan sokongan kepada semua inisiatif Thailand di bawah rangka kerja ADMM dan ADMM Plus.

Kunjungan berkenaan diakhiri dengan kedua-dua belah pihak menyuarakan rasa tidak sabar untuk mengukuhkan lagi kerjasama dalam bidang pertahanan termasuk melalui pertukaran lawatan, latihan dan kursus bersama serta aktiviti-aktiviti interaksi kakitangan.

Biravij Suwanpradhes telah menyerah surat watikah pelantikannya kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 23 Mac 2016 lalu.