Timbalan Menteri terima kunjungan Menteri Singapura

Timbalan Menteri terima kunjungan Menteri Singapura

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Julai – Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud, bersama isteri, Datin Hajah Zalina binti Haji Omar, hari ini menerima kunjungan Hari Raya Aidilfitri daripada Menteri Negara Kanan di Kementerian Hal Ehwal Luar dan Kementerian Pertahanan Republik Singapura, Dr. Mohamad Maliki bin Osman bersama isteri, Sadiah Shahal di kediamannya di Kampung Sungai Hanching.

Kunjungan Hari Raya Aidilfitri daripada delegasi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam berkenaan adalah sebagai tanda penghormatan dan penghargaan ke atas hubungan kerjasama, persahabatan dan persefahaman antara Negara Brunei Darussalam dengan Republik Singapura.

Rombongan Dr. Mohamad Maliki disertai oleh Setiausaha Parlimen, Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Singapura, Baey Yam Keng dan isteri, Lim Hai Yen serta Setiausaha Parlimen, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura, Amri Amin.

Turut hadir menyertai kunjungan tersebut ialah Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Lim Hong Huai.

Dr. Mohamad Maliki bersama delegasi ber-ada di negara ini dalam rangka kunjungan Hari Raya Aidilfitri dan dijangka akan pulang pada 10 Julai ini.

Dr. Mohamad Maliki serta rombongan bergambar ramai semasa membuat kunjungan Aidilfitri ke kediaman Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama kelmarin.
Dr. Mohamad Maliki serta rombongan bergambar ramai semasa membuat kunjungan Aidilfitri ke kediaman Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama kelmarin.