Timbalan Pemerintah ABDB terima pingat

Timbalan Pemerintah ABDB terima pingat

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jun – Timbalan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Laksamana Pertama Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit telah menerima pengiktirafan tentera berprestij Singapura iaitu Pingat Jasa Gemilang (Tentera).

Penganugerahan pingat telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan Singapura, Tuan Yang Terutama Dr Ng Eng Hen, di majlis yang berlangsung di Kementerian Pertahanan, Republik Singapura, hari ini.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini, penganugerahan berkenaan adalah bagi sumbangan berharga dan perkhidmatan cemerlang beliau dalam mempromosikan hubungan pertahanan yang kukuh dan kerjasama berpanjangan di antara Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) dan Angkatan Laut Republik Singapura (RSN) ketika berkhidmat sebagai Pemerintah TLDB.

Di bawah kepimpinan Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz, hubungan di antara TLDB dan RSN diperkukuhkan lagi melalui pelbagai aktiviti dua hala dan pertukaran profesional di antara kedua-dua angkatan laut.

Timbalan Pemerintah ABDB menerima Pingat Jasa Gemilang (Tentera) yang disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Dr Ng Eng Hen.
Timbalan Pemerintah ABDB menerima Pingat Jasa Gemilang (Tentera) yang disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Dr Ng Eng Hen.

Sebagai sebahagian daripada lawatannya, Timbalan Pemerintah ABDB juga telah membuat kunjungan hormat secara berasingan kepada Tuan Yang Terutama Dr Ng Eng Hen, dan Ketua RSN, Laksamana Muda Lai Chung Han, di Ibu Pejabat Kementerian Pertahanan Singapura.

ARTIKEL YANG SAMA